PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di dua lokaliti berbeza di Melaka dan Sabah secara serentak mulai 16 Mei hingga 29 Mei ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berlangsung selama 14 hari antaranya ialah di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka kerana terdapat peningkatan ketara trend dalam tempoh dua minggu lalu iaitu 56 kes positif.
Menurut beliau, turut dikenakan PKPD ialah di Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Bahagian Tawau, Sabah susulan kadar positif melonjak kepada 26.79 peratus sehingga kini.
“Situasi itu mewujudkan Kluster Lapan dengan kes indeks merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun dari lokaliti ini yang dilaporkan sah positif pada 8 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Madai, Kunak, Sabah yang dijadualkan tamat hari ini, dilanjutkan sehingga 28 Mei ini kerana masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta ada baki lagi sejumlah 51 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan makmal.
Katanya, kes indeks bermula daripada pekerja pasar raya di Lahad Datu yang mendapat jangkitan awal daripada ibu mentua selepas merentas daerah menziarahi anaknya, guru di sekolah tersebut.
Bagaimanapun jelas beliau, satu lagi PKPD terletak di bahagian sama di negeri tersebut iaitu di Kampung Bergosong akan berakhir esok seperti diijadualkan ekoran kes indeks melibatkan seorang suri rumah bergejala dan disah positif pada 13 April ketika menghadiri majlis kenduri tahlil sebelumnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKP pada hari pertama Aidilfitri di seluruh negara semalam menyaksikan seramai 292 individu diberkas berbandung 440 individu ditahan kelmarin.
“Daripada jumlah itu, 278 dikompaun manakala 14 lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis,” katanya.
Kesalahan itu jelas beliau, mencatatkan penurunan kepada 75 kes berbanding sehari sebelumnya, diikuti gagal jarak fizikal (62), tidak memakai pelitup (45) dan lain-lain lagi (110).
Menurutnya, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam, selain sebanyak 83 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.
Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 366 peruncit, 120 pemborong dan 30 pengilang selain melakukan sejumlah 1,330 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terbabit didapati mematuhi peraturan.