KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10 laluan alternatif di daerah ini ditutup bermula tengah malam tadi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, selain itu sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di sekitar Kuala Terengganu bagi mengawal pergerakan keluar masuk penduduk sepanjang tempoh PKPD hingga 12 Jun ini.
Katanya, sekatan turut melibatkan di sempadan daerah Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Marang yang menghubungkan laluan ke daerah itu.
“Kita telah meletakkan penghadang konkrit di laluan alternatif yang ditutup dan saya memberi amaran keras kepada penduduk agar tidak mengalih, mengubah atau membuat khianat kepada pengadang yang diletakkan oleh pihak berkuasa.
“Di samping itu, kita juga sudah mengenal pasti beberapa jalan tikus untuk ditutup supaya tidak berlaku pergerakan keluar masuk,” katanya kepada pemberita di SJR Padang Midin di sini hari ini.
Kesemua 21 mukim di Kuala Terengganu dikenakan PKPD berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 sepanjang bulan ini iaitu 349 kes atau naik 370 peratus bagi tempoh dua minggu di lokaliti terbabit.
Menurut Abdul Rahim, bagi mengehadkan kemasukan orang ramai ke pusat bandar, terdapat empat pusat pemeriksaan trafik didirikan di bulatan Ladang, Jalan Kemajuan, Jalan Sultan Omar dan Pulau Kambing.










