JOHOR BAHRU: Pelbagai pihak terus mendesak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara ‘total lockdown’ ekoran jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat dan membimbangkan.
Terbaharu, Ketua Puteri UMNO Johor, Nur Ain A. Rahman berkata, pengorbanan perlu dilakukan sekali lagi oleh rakyat Malaysia demi negara kerana Covid-19 bukan konspirasi politik mana-mana pihak dan ia adalah hakikat yang perlu diterima.
Katanya, sejarah telah membuktikan PKP ketat dalam beberapa tempoh berjaya menurunkan kes ke satu angka sebelum ini.
Beliau memberitahu, pergerakan rakyat Malaysia perlu dihadkan sekali lagi agar tiada rantaian sebaran varian baru yang berisiko membawa maut untuk semua tanpa mengira peringkat umur.
“Rakyat Malaysia bukan sahaja perlukan kesedaran tetapi perlu ketegasan perundangan. Fasiliti kesihatan berada di tahap genting dan mencapai penggunaan maksimum. Kita juga dapat melihat, membaca dan sudah pasti menyedari saudara, kawan-kawan, jiran dan kenalan yang dijangkiti malah lebih sedih lagi menjadi asbab dijemput Ilahi.
“Benar, penutupan sektor ekonomi sudah pasti menyumbang kepada pengangguran dan kesusahan rakyat, maka kerajaan juga perlu menyediakan pakej bantuan jangka pendek segera seperti lanjutan moratarium, i-Sinar untuk setidaknya rakyat bertahan hidup.
“Tetapi sekiranya kerajaan hanya membiarkan PKP separuh masak dilaksanakan, kita akan sukar dalam jangka masa yang lebih lama berserta dengan kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan pendidikan, Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me’didik) turut menyeru kerajaan melaksanakan PKP secara menyeluruh di seluruh negara.
Pengerusinya, Mohd. Ridhwan Othman berkata, perkara sama turut disuarakan ramai dalam kalangan masyarakat negara ini yang mahu ia dilaksanakan segera kerana langkah itu dilihat berkesan dalam mengekang penularan seperti yang dilaksanakan tahun lalu.
“Dengan pengawalan ketat seperti dahulu, negara berjaya merekodkan kes tempatan paling rendah sejak PKP bermula iaitu sifar kes pada Julai tahun lalu. Bagaimanapun angka mula meningkat apabila syarat dilonggarkan dan orang awam dibenarkan berjalan dengan pengawalan yang sangat longgar,” katanya.
Tambah beliau, kes harian tinggi tidak mendatangkan manfaat buat negara kerana akan turut menjejaskan kesihatan dan ekonomi jika ia terus meningkat.
Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan agar kerajaan mengadakan PKP menyeluruh di seluruh negara selama sekurang-kurangnya 21 hari kerana 14 hari adalah tempoh inkubasi manakala tujuh hari lagi adalah tempoh rehat bagi meredakan keadaan.
“Namun, dalam masa sama, kerajaan diminta memberikan bantuan dalam bentuk moratorium penuh selama tiga bulan seperti yang dilakukan pada PKP pertama tahun lalu,” katanya.