KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tampil membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dilakukan terhadap isu politik wang yang berlaku di negara ini.
Mereka mahu isu politik wang disiasat secara telus susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ahmad Hamid Bador.
Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, PH bukan sekadar mahu siasatan dalaman pasukan polis dilakukan sebaliknya, mereka mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut ditubuhkan bagi mengembalikan kredibiliti dan akauntabiliti pasukan polis.
“Kita mahu siasatan dalaman polis dilakukan dan kita mahu RCI dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan bagi menyiasat perkara ini.
“Di samping itu Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yan dicadangkan oleh PH perlu diwujudkan agar semak imbang boleh dilakukan,” katanya selepas membuat laporan polis bersama pemimpin PH dan UPKO di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang ini berkata, pendedahan bekas KPN itu perlu ditangani secara serius kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh pegawai tertinggi polis.
“Atas sebab itu, kita tetap dengan pendirian untuk menentang politik wang dan amalan rasuah. Kita harus berjuang dalam melindungi amalan demokrasi di Sabah demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, siasatan perlu dilakukan terhadap pendedahan bekas KPN mengenai ‘orang politik itu, naik jet daripada sini (Semenanjung) pergi Sabah, tiba-tiba sudah ada seorang mengaku mahu lompat’.
Katanya rakyat berhak menghakimi kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan pendedahan tersebut
ADUN Kadamaian ini berkata, beliau yakin Malaysia boleh ditadbir dengan lebih baik, tetapi bukan dengan cara kepimpinan seperti yang didedahkan oleh bekas KPN itu.
Siasatan terhadap isu itu amat perlu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti pasukan polis yang sepatutnya menegakkan keadilan dan menjaga keselamatan negara. -UTUSAN ONLINE