Perlu sentiasa semak kemas kini di MySejahtera - Utusan Malaysia

Perlu sentiasa semak kemas kini di MySejahtera

S. Veerapan (belakang, tengah) ketika mengadakan tinjauan proses pemberian vaksin Covid-19 di PPV Hospital UCSI, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Terlepas pandang kemas kini terbaharu dalam aplikasi MySejahtera merupakan alasan yang sering diberikan lebih 6,000 individu yang tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 walaupun setelah diberikan janji temu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, alasan berkenaan paling ketara diterima, sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk sentiasa menyemak kemas kini giliran masing-masing menerusi MySejahtera.

“Kami menerima alasan ada yang tidak dapat menghadiri janji temu suntikan dos pertama kerana ada yang terlepas pandang perkembangan terkini di aplikasi Mysejahtera, ada yang merupakan kontak rapat pada temu janji pertama manakala alasan tidak hadir pada dos kedua pula kebanyakannya ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Kami berharap orang ramai dapat memastikan mereka sentiasa memeriksa aplikasi Mysejahtera untuk mengetahui status mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PPV Hospital UCSI di Bandar Springhill dekat sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 6,323 individu di negeri ini tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun telah diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik berkata, jumlah tersebut bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula 19 April sehingga 24 Mei lalu.

Sementara itu, Veerapan berkata, sehingga kini terdapat lima buah hospital swasta dan lapan buah klinik swasta yang dijadikan sebagai PPV di negeri ini.

“Hospital UCSI menjadi antara lima daripada hospital swasta yang terpilih sebagai PPV dan telah bermula dua hari lalu itu. Sebanyak 600 hingga 1,200 suntikan dos vaksin Covid-19 sehari akan dilaksanakan di hospital ini,” katanya lagi.

Sementara itu, ujar beliau, kerajaan negeri bercadang untuk menghantar pesakit Covid-19 di negeri ini untuk mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Melaka International Trade Centre (MITC) Melaka sekiranya PKRC di Politeknik Port Dickson penuh.

“Susulan peningkatan jumlah kes di negeri ini, pihak kerajaan negeri juga bercadang menambah 30 buah katil di Hospital Jempol bagi menampung pesakit Covid-19 yang ketika ini mempunyai 64 buah katil,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya