SHAH ALAM: Peniaga bazar Ramadan berlesen di enam daerah terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memohon bantuan khas RM500 bermula hari ini.
Enam daerah tersebut ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataannya berkata, individu yang layak memohon ialah peniaga bazar Ramadan yang berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau di bawah penganjur (berdaftar dengan PBT).
“Sembilan PBT yang terlibat bagi bantuan ini adalah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.
“Setiap peniaga hanya layak menerima sekali sahaja bantuan walaupun mempunyai lebih dari satu petak bazar atau lesen atau permit daripada majlis yang sama atau berbeza.
“Tempoh permohonan bantuan khas ini bermula hari ini hingga 30 Jun. Bantuan akan terus disalurkan ke akaun bank dalam tempoh 14 hari bekerja dan borang lengkap diisi,” kata kenyataan itu malam ini.
Peniaga yang ingin memohon boleh melayari laman web www.selangorprihatin.com dan menyemak kelayakan menggunakan nombor kad pengenalan masing-masing sebelum menghantar permohonan.
5 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan sejumlah RM500 kepada 11,000 penjaja bazar Ramadan di negeri itu yang terjejas akibat penutupan operasi berikutan pelaksanaan PKP.
Menurut beliau, Selangor memperuntukan RM5juta berikutan kedudukan kerajaan negeri yang mampu dan berupaya untuk meneruskan bantuan itu.- UTUSAN ONLINE