JASIN: Sebanyak 180 batang lemang dan ketupat diagih-agihkan kepada kira-kira 154 keluarga di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, dekat sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 7 Mei lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, selain lemang dan ketupat, turut diagihkan ialah rendang ayam dan daging termasuk kuih raya kepada penduduk terbabit pada malam sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, ayam dan daging juga diberikan memandangkan penduduk tidak dibenarkan keluar atau masuk sepanjang pelaksanaan PKPD di kampung tersebut.
“Saya harap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban kepada penduduk yang terjejas sejak kampung mereka dikenakan PKPD.
“Bantuan sebelum Aidilfitri kita berikan agar mereka juga dapat menyambut Aidilfitri walaupun dalam keadaan yang tidak begitu selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawalan ketat pihak polis dan tentera di dua pintu masuk iaitu di Permatang Tulang dan persimpangan Jalan Salim.

Hasan berkata, sepanjang tempoh PKPD selama 14 hari yang akan tamat pada 20 Mei ini, bantuan makanan mentah dan masak serta barangan keperluan asas penduduk telah diuruskan.
Menurutnya, bekalan makanan kepada penduduk diagih-agihkan setiap tiga hari sekali seperti beras, gula, tepung, susu dan sebagainya termasuk barang basah seperti sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.
Jelasnya, lima sukarelawan telah dilantik bagi memastikan semua barangan keperluan diterima kepada penduduk.
“Saya meminta semua penduduk yang terlibat di kawasan PKPD itu agar bersabar dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu Hasan berkata, setakat ini seramai 122 orang daripada 508 penduduk yang disaring telah disahkan positif.
Jelasnya, seorang penduduk berusia 42 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sebatu, sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.










