SEREMBAN: Pemilik akaun Facebook N9 Radar hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang didakwa boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, pemilik akaun Facebook itu tiba di IPD Nilai pada pukul 3 petang dan memberi keterangan selama satu jam.
“Pemilik akaun Facebook N9 Radar telah hadir memberi keterangan pada pukul 3 petang dan selesai pada pukul 4 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fazley, siasatan terhadap kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan.
Semalam Utusan Online melaporkan, pemilik akaun Facebook N9 Radar itu didapati membuat hantaran yang memaparkan satu gambar dengan mesej ‘Nilai 3 terletak di negeri Selangor Darul Ehsan’.
Sehubungan itu, polis telah memulakan satu siasatan berhubung kenyataan tersebut yang boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.
Pihak polis turut menegaskan bahawa Nilai 3 merupakan kawasan dalam pentadbiran IPD Nilai, Negeri Sembilan dan bukannya terletak dalam negeri Selangor.