IPOH: Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria disifatkan oleh jirannya sebagai seorang yang berhati luhur dan sangat mengambil berat hal ehwal jiran tetangga.
Menurut Putera Iszrin Shah Mohd. Isak, 52, tokoh agama itu bukan sahaja tidak lokek membantu malah sering menjadi individu pertama sekiranya mengetahui masalah dihadapi komuniti di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini.
“Awal-awal dulu banyak masalah timbul contohnya isu tanah dan rumah tetapi Allahyarham banyak membantu kami sehingga masalah selesai.
“Contohnya, rumah ibu saya dulu asalnya rumah pusaka, banyak dinding yang reput. Alhamdulillah dengan bantuan Allahyarham, kami dapat baik pulih rumah agar lebih selesa untuk didiami,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berdepan kediaman Mufti Perak itu di sini.
Dia yang bersahabat baik dengan seorang daripada anak lelaki Harussani berkata, saat paling manis dikenang apabila setiap kali Syawal, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan berangkat ke kediaman Allahyarham untuk ziarah.
Katanya, ketika itu, jiran-jiran sekitar pasti tidak melepaskan peluang untuk melambai tangan ke arah baginda Sultan Perak.
“Setiap kali ketibaan baginda, seronok lihat jalan kampung ini penuh dengan polis. Kita yang duduk di sini pun, boleh melambai tangan kepada Sultan Nazrin,” kongsinya.
Tambahnya, pemergian Allahyarham seolah meragut separuh kegembiraan jiran tetangga yang telah dianggap tokoh tersohor itu sebagai sebuah keluarga besar.
“Kami bangga kerana dalam kampung ini adanya seorang tokoh yang tinggi darjatnya dan disegani semua pihak. Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada kami,” katanya.
Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2.45 petang semalam setelah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana positif Covid-19.