JEMPOL: Pekebun-pekebun kecil yang mempunyai tanah terbiar digalakkan untuk membuat permohonan geran menerusi Skim Bantuan Penanaman Semula Getah yang disediakan oleh pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, menjadi matlamat agensi tersebut untuk meningkatkan keluasan tanaman getah sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil komoditi tersebut.
Jelas beliau, menerusi skim tersebut, pekebun kecil akan menerima bantuan berjumlah RM13,710 sehektar di Semenanjung Malaysia dan masing-masing RM14,805 (Sarawak) dan RM14,955 (Sabah).
“Dahulu tanah-tanah ini pekebun kecil tanam pokok buah-buahan, jadi pokok buah juga tak menjadi dan pokok juga sudah mati, tanah itu kosong , jadi Risda di bawah Program Tanam Semula Getah, kita mahu bangunkan semula kawasan tersebut.
“Risda sudah buka pendaftaran bagi pekebun kecil yang berminat, kita beri secara percuma daripada membaja, menoreh malah pisau toreh dan mangkuk getah juga kita beri bagi membantu meningkatkan pekebun kecil ini, jangan tanah mereka terbiar begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan Parlimen Jempol dan Sumbangan Zakat Korporat Serta Dividen Risda di Masjid Jamek Bahau dekat sini semalami.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor dan Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal.
Pada majlis tersebut, Mohd. Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol turut menyampaikan agihan zakat korporat Risda Negeri Sembilan kepada asnaf dengan setiap daripada mereka menerima wang tunai dan barangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM150.
Sementara itu, kata beliau, Risda sentiasa menyokong keperluan industri getah negara dengan memperkenalkan pelbagai skim kepada pekebun kecil termasuk skim insentif lateks.
“Bantuan berkenaan melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM500 sehektar,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE