Pas Terengganu tunai 70 peratus manifesto - Utusan Malaysia

Pas Terengganu tunai 70 peratus manifesto

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pas Terengganu berjaya menunaikan 70 peratus manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam tempoh tiga tahun mengambil alih pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehingga kini sebanyak 14 daripada keseluruhan 20 manifesto berkenaan dilaksanakan bagi manfaat rakyat.

Malah katanya, Jawatankuasa Induk Manifesto negeri turut menyasarkan untuk menyempurnakan empat lagi agenda menjelang akhir tahun ini sekali gus mengotakan 90 peratus daripada keseluruhan janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

“Sepanjang tempoh memikul amanah kepemimpinan, prinsip kami jelas iaitu mana-mana amalan baik yang diamalkan sebelum ini diteruskan dengan penambahbaikan, yang rosak ditinggalkan manakala yang tiada tetapi perlu akan dijayakan.

“Cabaran tentunya besar dalam mewarisi kerajaan lalu kerana rumah yang dilihat cantik dari luar, usang di dalamnya dan bocor di atapnya, oleh itu keutamaan kita ialah membantu lebih 1.2 juta rakyat Terengganu dalam memenuhi keperluan kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Terengganu secara dalam talian malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata, keperluan menyelesaikan masalah hidup rakyat tentunya bertambah penting dalam suasana pandemik Covid-19 yang mencabar.

Beliau sekali gus memberi jaminan pengagihan dana yang lebih adil dan baik daripada Dana Raya misalnya, sudah tentu akan diberikan dengan tujuan menggerakkan ekonomi rakyat apabila sampai waktu dan ketikanya nanti.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif kerajaan Pas Terengganu memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) berjaya mengendurkan ketegangan yang ada di samping menumpulkan pertembungan tajam.

“Sebelum ini sesama kita terkenal dengan politik yang tegang dan pertembungan tajam. Komitmen kita adalah untuk terus berusaha agar sama-sama mampu duduk berlaga lutut berbicara, biarlah buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat,” katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, agenda pemerkasaan Islam merupakan fokus kerajaan Pas Terengganu bagaimanapun, proses pelaksanaannya dilakukan dengan cermat dan secara berperingkat tanpa tergopoh-gapah menerusi beberapa inisiatif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya