OIC didesak bertindak lindungi Palestin - Utusan Malaysia

OIC didesak bertindak lindungi Palestin

KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pas mendesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk menggandakan peranan menggembleng tenaga umat Islam bagi memperjuangkan perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat sekali gus menolak sebarang ancaman daripada serangan serta gerakan penjajahan rejim Zionis.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu ditegaskan dalam muzakarah majlis tu yang bersidang kelmarin dan menetapkan pendirian selari dengan kerajaan Malaysia bahawa Israel yang dikuasai Zionis adalah kerajaan haram yang dibina di atas bumi dan negara Palestin yang dirampas sejak 1948.

Beliau berkata, kesan pencerobohan Zionis Yahudi itu mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu rakyat Palestin manakala jutaan mereka terusir keluar daripada negara sendiri dan menimbulkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

“Tindakan Zionis Yahudi di negara haram Israel menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam Palestin adalah sebenar-benar keganasan yang layak untuk pelakunya digelar sebagai pengganas serta merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara yang ada.

“Sebarang penentangan oleh rakyat Palestin terhadap pencerobohan Zionis demi mempertahankan tanah air, nyawa, kehormatan dan harta benda mereka adalah perjuangan yang menepati hak asasi rakyat yang dizalimi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, sebarang usaha normalisasi dengan Zionis dan kerajaan haram Israel yang merupakan talian hayat kepada rejim penjajah itu perlu ditolak dan disanggah dengan tegas.

Jelasnya, kesatuan dan perpaduan umat Islam dengan pelbagai aliran dan mazhab serta gabung jalin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuhkan dalam menghadapi kezaliman Zionis.

Justeru, kata beliau, umat Islam dan masyarakat seluruh dunia diseru bersama membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka di bumi yang dijajah dan dirampas oleh Zionis.

Katanya, langkah itu boleh dibuat dengan pelbagai cara sama ada menerusi kuasa politik dan suara diplomatik di peringkat antarabangsa mahu pun kuasa ekonomi melibatkan harta benda dan sebagainya.

“Seluruh umat Islam diseru untuk sentiasa melakukan Qunut Nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN