Nasi Arab ‘beratur’ pikat warga Machang - Utusan Malaysia

Nasi Arab ‘beratur’ pikat warga Machang

BIARPUN perlu berbaris panjang, orang ramai sabar menunggu giliran untuk membeli nasi Arab di Kampung Sungai Hala, Machang. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Biarpun perlu berbaris panjang, orang ramai tetap sabar menunggu giliran semata-mata mahu menikmati nasi arab di sebuah gerai di Kampung Sungai Hala di sini sebagai juadah berbuka.

Malah jangan terkejut jika dikatakan sekitar 180 hingga 200 bungkus nasi hasil air tangan pengusaha gerai yang digelar Mama Lyn habis dijual hanya dalam tempoh dua jam setiap hari.

Gara-gara pemandangan pelanggan yang dilihat sentiasa berbaris panjang mahu membeli juadah itu pada setiap petang, penduduk tempatan turut menggelarnya sebagai nasi Arab ‘beratur’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mama Lyn atau nama sebenarnya Noorhasslinda Ab. Halim, 36, berkata, dia mula menjual nasi Arab sejak sembilan bulan lalu secara dalam talian sebelum membuka gerai sejak hari pertama Ramadan.

“Memang saya tidak menyangka akan mendapat sambutan yang begitu baik dan pelanggan sanggup beratur untuk membeli nasi Arab berlauk ayam mandy atau kambing gril yang saya jual.

“Alhamdulillah nasi Arab saya semakin dikenali apabila turut tular dalam laman sosial Facebook sehingga menarik lebih ramai pelanggan untuk datang membeli,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mama Lyn, ketika peringkat awal berniaga, dia menyediakan 18 kilogram nasi Arab namun kini telah ditambah kepada 20 kilogram sehari supaya tidak menghampakan pelanggan yang semakin meningkat.

“Saya buka gerai sekitar pukul 5 hingga 7 petang setiap hari dan operasi gerai saya setakat ini berjalan lancar dengan bantuan suami sendiri serta ahli keluarga lain,” katanya yang turut menjual roti John.

Mama Lyn berkata, sambutan menggalakkan diterima terhadap juadah masakannya itu memberi semangat untuk dia mengejar impian membuka sebuah kedai nasi Arab sendiri di bandar ini satu hari nanti. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya