MyAqsaDefenders dilancar, sasar RM10 juta bantu Palestin - Utusan Malaysia

MyAqsaDefenders dilancar, sasar RM10 juta bantu Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan gabungan bernama MyAqsaDefenders dengan menyasarkan untuk mengumpul dana RM10 juta bagi membantu penduduk Palestin.

Wakil Sekretariat MyAqsaDefenders, Nadir Al-Nuri berkata, gabungan itu ditubuhkan selepas tidak berpuas hati dengan insiden pencerobohan tentera Israel terhadap Masjid Al-Aqsa, yang dianggapnya sebagai identiti dan lambang maruah Islam.

Malah katanya, pengusiran penduduk asal Palestin dari rumah dan kediaman mereka di Sheikh Jarrah benar-benar mengusik jiwa.

“Memandangkan negara-negara Islam masih berpeluk tubuh dan enggan bergerak lebih berkesan selain melalui kenyataan dan retorik kosong, maka kami mengambil inisiatif mengumpul NGO dan bersedia untuk mendukung suara dan kehendak rakyat Palestin dan umat Islam keseluruhannya.

“Gabungan kerjasama NGO atas nama MyAqsaDefenders dirintis anak-anak muda yang terdiri daripada gabungan aktivis kemanusiaan yang telah berkecimpung dalam usaha membantu Palestin,” katanya ketika sidang akhbar secara maya di sini, hari ini.

Nadir menjelaskan, dana berjumlah RM10 juta akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bantuan kecemasan, bantuan jangka masa sederhana dan bantuan jangka masa panjang.

“Sejumlah RM2 juta berjaya dikumpulkan oleh badan-badan terlibat dan usaha untuk mencukupkan dana kini sedang giat dilakukan.

“Daripada jumlah tersebut, dana sebanyak RM1 juta disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak,” katanya.

Katanya, sebahagian dana itu juga dimanfaatkan untuk bantuan kewangan seperti bayaran kos guaman untuk mereka yang telah ditahan sama ada ketika insiden Al-Aqsa atau perkampungan Sheikh Jarrah serta bagi menyara hidup penduduk di Baitulmuqaddis.

“Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi bantuan baik pulih infrastruktur dan rumah penduduk di Baitulmuqaddis dalam usaha memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi kawasan tersebut.

“Pertambahan kepada jumlah bantuan akan seiring dengan pertambahan sumbangan dari semasa ke semasa. Pelan perancangan strategik jangka panjang seperti pembangunan serta kekuatan ekonomi, wakaf dan pendidikan akan turut diberi perhatian,” katanya.

Selain itu Nadir berkata, MyAqsaDefenders turut melancarkan kempen serangan siber dengan meminta rakyat Malaysia menularkan hantaran di media sosial bersama tanda pagar #shameonIsrael dan #Israelkoyak bertujuan untuk mengutuk tindakan yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

“Kempen ini berjaya tular serta beri impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan Twitter sehingga carian maksud perkataan koyak turut meningkat di laman sesawang,” katanya.

Pada masa sama, Nadir juga menggesa masyarakat Malaysia supaya melihat isu Palestin bukan sekadar satu isu keagamaan tetapi ia juga merupakan isu ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan sejagat.

“Justeru, kami menyeru rakyat Malaysia dengan kepelbagaian latar belakang agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam menuntut dan mempertahankan hak mereka yang dirompak sejak tujuh dekad lalu.

“Kami mengalu-alukan penglibatan dan sokongan mana-mana institusi dan NGO serta tokoh-tokoh berpengaruh dan para artis bersama-sama menanam tekad dan mempertahankan Baitulmuqaddis dan hak penduduk di Palestin, semoga keadilan akhirnya akan menjelma,” katanya.

MyAqsaDefenders terdiri daripada Cinta Gaza Malaysia, Global Peace Mission (GPM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Iman Care, One Nation, Al Azhar Care, Dana Kita, Murtadha Dakwah Centre, Serantau Muslim, Cinta Syria Malaysia, MyFundAction, Muslim Volunteer Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Warga Cakna.

Beberapa artis dan influencer turut menyertai MyAqsaDefenders iaitu Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, MizzNina dan Noh Salleh menerusi Min Qalby Foundation, Faizal Tahir menerusi Faithmen, Into Taqwa Malaysia, Fedtri Yahya, Imam Muda Fakhrul dan Dahlia Shazwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya