ALOR SETAR: Beberapa peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini didapati menjual daging lembu tempatan pada harga RM38 sekilogram melepasi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, semalam.
Peniaga terbabit mendakwa, mereka terpaksa menjual harga lebih tinggi berbanding yang ditetap SHMMP iaitu RM34 sekilogram disebabkan harga daripada pihak pemborong tinggi.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Yusrizal Mohd. Yusof berkata, peniaga terlibat mendakwa mereka menerima bekalan daging daripada pemborong antara RM32 hingga RM35 sekilogram.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan peniaga terpaksa menjual daging lembu tersebut dengan harga sebelum SHMMP dilancarkan pada 21 April lalu.
“Peniaga bukan tidak mahu menjual daging mengikut SHMMP tetapi mereka menerima bekalan pada harga tinggi daripada pemborong,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
SHMMP itu dilaksanakan selama 30 hari bermula 21 April hingga 20 Mei ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, daging lembu import pula dijual dengan harga RM21 sekilogram juga lebih mahal berbanding SHMMP iaitu RM20 sekilogram.
Sementara itu, seorang peniaga yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM38 sekilogram itu berkualiti dan tanpa lemak.
“Daging lembu yang bercampur lemak bolehlah dijual lebih murah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, peniaga ayam standard di pasar itu pula didapati mematuhi SHMMP apabila dijual dengan harga RM7.90 sekilogram. – UTUSAN ONLINE










