Malaysia kecam sekeras-kerasnya serangan Israel di Masjid Al-Aqsa - Utusan Malaysia

Malaysia kecam sekeras-kerasnya serangan Israel di Masjid Al-Aqsa

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, semalam.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, ia adalah satu perbuatan zalim, malah kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, ramai rakyat Palestin tercedera dalam serangan tersebut dengan pencerobohan di Masjid Al-Aqsa disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan.

“Ia jelas merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.

“Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaru Israel ini.

Katanya, Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis (East Jerusalem) sebagai ibu kota Palestin.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 163 penduduk Palestin dan enam anggota polis Israel tercedera dalam pertempuran di Baitulmuqaddis.

Sebahagian besar orang cedera di perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika penduduk Palestin membaling batu dan botol terhadap polis Israel yang melepaskan getah dan bom tangan ke arah mereka.

Terdahulu, beribu-ribu penduduk berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan.

Ketegangan semakin memuncak sejak beberapa hari lalu dengan pertengkaran hampir setiap hari mengenai ancaman pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka di Baitulmuqaddis bagi memberi laluan kepada penduduk Israel.

Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya