MELAKA: Semua pihak perlu berdisiplin dan mengamalkan pematuhan kendiri yang tinggi meskipun kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menegaskan, kerjasama tersebut penting semasa situasi sukar ini tanpa meletakkan tanggungjawab memerangi Covid-19 kepada kerajaan semata-mata.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat seperti mengehadkan waktu operasi perniagaan dan bekerja dari rumah sebenarnya membantu melindungi sektor ekonomi dan sosial rakyat.
“Saya tidak fikir PKP sepenuhnya mampu menurunkan kes positif dalam tempoh yang singkat. Kalau dilaksanakan juga dalam jangka panjang, bayangkanlah apa akan berlaku kepada negara ini.
“Oleh sebab itu, semua pihak perlu bersatu hati dan beri kerjasama dengan duduk di rumah dan keluar bila perlu sahaja. Contohi sikap rakyat negara lain seperti di Taipei, Taiwan yang menunjukkan pematuhan kendiri yang tinggi,” katanya.
Sebelum ini, banyak pihak menjangkakan pelaksanaan PKP penuh susulan kes positif Covid-19 melepasi angka 6,000 kes pada Rabu lalu.
Sebaliknya, kerajaan mengumumkan SOP PKP 3.0 yang lebih ketat berkuat kuasa 25 Mei ini.
Tambah Mohd. Rafiq, semua pihak perlu berlaku adil kepada kerajaan dengan memberi masa untuk melihat hasil yang positif.
Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar sikap segelintir pihak yang sering menyalahkan kerajaan demi kepentingan politik peribadi.
“Hentikan berpolitik buat masa ini dan tumpu kepada permasalahan rakyat yang lebih penting. Beri kerjasama penuh dan bukannya menambah panik masyarakat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE