PUTRAJAYA: Kira-kira 1.17 juta murid melibatkan 1,262 sekolah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ‘bercuti’ awal apabila Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di bawah kementerian itu di tiga negeri berkenaan ditutup dua hari pada esok dan lusa.
Ia melibatkan seramai 221,248 murid di 294 sekolah di Kuala Lumpur; 917,971 murid di 941 sekolah di Selangor manakala 32,103 murid di 27 sekolah di Putrajaya.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, keputusan menutup sekolah itu bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti dan pergerakan antara negeri memandangkan kedudukan kedua-dua wilayah ini yang bersempadanan dengan daerah-daerah dalam Selangor.
Bagi pergerakan pulang murid asrama sempena cuti hari raya Aidilfitri pula katanya, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang ditetapkan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa atau penjaga.
“Surat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bertarikh hari ini mengarahkan semua sekolah bawah KPM di Selangor ditutup pada 6 dan 7 Mei ini.
“Arahan ini dikeluarkan setelah mempertimbangkan syor Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) supaya semua sekolah di negeri Selangor ditutup bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri tersebut,” katanya hari ini.
Menurut KPM, keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira tempoh persekolahan yang hanya berbaki dua hari sebelum sekolah ditutup sempena cuti hari raya Aidilfitri.
Bagaimapaun, jelasnya, dalam tempoh penutupan tersebut, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut kesesuaian guru dan murid.
KPM sebelum ini membuat ketetapan PdPR akan dilaksanakan selepas cuti perayaan Aidilfitri bermula 16 Mei sehingga 28 Mei ini selama tempoh 10 hari sebelum cuti penggal persekolahan yang akan bermula 28 Mei ini.
Ia bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.
Para pelajar akan mengikuti PdPR bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).
Katanya, pelajar seterusnya akan terus bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B). -UTUSAN ONLINE