KOTA BHARU: Tindakan seorang wanita warga emas ‘melarikan diri’ dari kampungnya di Mukim Bunut Susu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk menyambut Aidilfitri di rumah saudara di Pulau Beluru, Tumpat mengundang padah.
Ini kerana warga emas berusia 60-an itu bukan sahaja disahkan positif Covid-19 pada hari raya kedua, malah menyebabkan tujuh lagi ahli keluarga dan saudaranya yang tinggal serumah turut dijangkiti virus sama.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pihak jabatan mendapati wanita tersebut tiada di rumahnya dalam kampung itu yang dikenakan PKPD mulai 9 Mei hingga 22 Mei depan.
“Siasatan mendapati dia terlebih dahulu sudah lari ke rumah saudaranya di Pulau Beluru, Tumpat sebelum laluan keluar masuk kampung tersebut ditutup sepenuhnya kerana mahu beraya.
“Kita mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk mengesan warga emas berkenaan sebelum mengambilnya untuk menjalani saringan. Apabila keputusan keluar pada hari raya kedua, dia disahkan positif Covid-19,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Kampung Pauh Lima, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini (19 Mei) hingga 1 Jun depan bersama Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini berkata, disebabkan kegagalan warga emas itu menjalani kuarantin, virus Covid-19 sudah menjangkiti tujuh individu lain iaitu ahli keluarga dan saudara maranya sendiri yang tinggal serumah di Tumpat.
“Sehingga hari ini, kita masih mengesan kontak rapat warga emas terbabit untuk menjalani ujian saringan Covid-19,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










