Lakukan pelbagai kesalahan, 30 buruh binaan warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Lakukan pelbagai kesalahan, 30 buruh binaan warga asing ditahan

SEBAHAGIAN buruh binaan warga asing yang ditahan pihak berkuasa di tapak pembinaan bangunan di Kepala Batas, Pulau Pinang atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi SOP Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seramai 30 buruh binaan warga asing di sebuah tapak pembinaan di Bertam Perdana di sini ditahan dalam serbuan pihak berkuasa keselamatan yang melakukan pemeriksaan mengejut di kawasan itu hari ini.

Pada awalnya mereka cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai dokumen yang sah untuk berada dan bekerja di negara ini sekali gus cuba mengelakkan daripada ditahan.

Bagaimanapun dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 10 pagi itu, mereka yang sedang bekerja di tapak pembinaan bangunan tersebut berjaya ditahan bagi semakan lanjut dokumen.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil pemeriksaan pihaknya dalam serbuan itu mendapati majikan di tapak pembinaan berkenaan melakukan pelbagai kesalahan.

Kesalahan itu jelas beliau, melibatkan peruntukan undang-undang di bawah kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Noorzainy berkata, PDRM turut mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM35,000 kepada majikan terbabit kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kompaun RM25,000 dikenakan kerana pekerja tidak membuat ujian calitan Covid-19 dan RM10,000 kerana pekerja tidak mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup muka, tidak memeriksa suhu dan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Dalam operasi sama, Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis penutupan tapak berkenaan selama tujuh hari manakala CIDB mengeluarkan notis kepada wakil kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat berikutan pekerja berkenaan mempunyai masalah berkaitan dokumentasi.

Sementara itu, JTK turut mengeluarkan notis saman kepada majikan selepas didapati gagal mendapatkan perakuan penginapan serta gagal menyediakan tilam, katil dan almari berkunci kepada pekerja.

MBPS pula menyita sebuah gerai yang dibina di dalam kawasan pembinaan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN