KPN bertanggungjawab kepada menteri - Utusan Malaysia

KPN bertanggungjawab kepada menteri

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap tindakan seseorang Ketua Polis Negara (KPN) itu perlu bertanggungjawab kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mente­rinya serta tidak boleh membuat apa sahaja tindakan sendiri atau ikut sesuka hati.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan berkata, perkara tersebut jelas dalam Akta Polis Seksyen 4 yang memperuntukkan bahawa KPN adalah bertanggungjawab kepada menteri.

Bagaimanapun katanya, bertanggungjawab itu bukan bermakna menerima apa sahaja arahan, tetapi tindakan KPN itu harus bertanggungjawab kepada menteri dan kementerian tersebut.

Katanya, hal itu juga kerana, KDN dan menterinya adalah satu entiti yang mengendalikan kewangan, pentadbiran dan perolehan jawatan dalam jabatan polis.

“Kalau tidak ada kementerian (dan menteri), siapa yang hendak mengesyorkan nasib (jabatan) polis dalam Parlimen? Mesti kena ada menteri, jadi kalau tidak mahu duduk bawah menteri, hendak duduk jabatan apa?

“Polis ini bukan jabatan bebas. Sumber kewangan dia daripada kerajaan, jadi dia (KPN) bertanggungjawablah kepada menteri. Semua kena beritahu menteri, permohonanan apa ke (dan) bukannya (atas) tindakan sendiri,” katanya.

Akta Polis Seksyen 4 mengatakan pasukan hendaklah di bawah perintah Ketua Polis Negara yang adalah seorang pegawai polis dan hendaklah bertanggungjawab kepada menteri bagi kawalan dan arahan pasukan dan semua orang lain yang dilantik atau diguna khidmat untuk menjalankan tugas-tugas polis, dan hendaklah mempunyai semua kuasa yang diberi kepada seorang pesuruhjaya atau seorang Ketua Pengawal Polis.

Musa berkata, berdasarkan perkara tersebut juga, wujudnya Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.

“Menteri perlu tahu siapa orang yang hendak dinaikkan pangkat itu… menteri kena tahu (itu). Takkan IGP (KPN) berkuasa penuh, tukar orang sini tukar orang sana. Orang kata apa pula nanti… diktator pula.

“Menteri dengan IGP (juga) kena ada hubungan baik, kalau tidak macam mana hendak buat kerja,” katanya.

Senada dengan Musa, Pakar Undang-undang, Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, urusan pelantikan polis adalah diperuntukkan dalam perkara 140 melalui kuasa yang ada pada SPP iaitu pengerusinya adalah Menteri Dalam Negeri.

Katanya, prinsip itu wujud dalam perlembagaan bagi memastikan terdapat hubung kait di antara badan eksekutif iaitu jemaah menteri diwakilkan oleh menteri itu sendiri dan juga badan perkhidmatan awam iaitu pasukan polis.

“Menteri amat penting bagi memastikan anggota awam sentiasa dipantau dan tidak berlaku kepincangan salah laku yang tidak memuaskan hati rak­yat kerana rakyat berhak memilih menteri setiap kali pilihan raya,” katanya.

Beliau yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sekiranya jemaah menteri tidak mempunyai kuasa ke atas agensi awam, bermakna hubungan antara rakyat dan agensi perkhidmatan awam termasuk polis itu terputus.

“Maka, jika berlaku salah laku dan sebagainya menyebabkan rakyat sudah kehilangan punca melakukan tindakan kerana tidak ada kesan apabila dibuat pertukaran kerajaan sekalipun kerana menteri yang tidak ada kuasa, maka ia tidak memberi kesan kepada perubahan demikian.

“Prinsip di dalam perlembagaan itu satu prinsip yang sudah baik perlu dikekalkan sistem demokrasi negara kita,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN