Kesihatan negara akan lumpuh tanpa kesungguhan sepanjang tempoh lockdown - Utusan Malaysia

Kesihatan negara akan lumpuh tanpa kesungguhan sepanjang tempoh lockdown

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Covid-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 akan penuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, malah para doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah.

Katanya, penularan Covid-19 semakin meruncing dengan nilai Rt negara terkini 1.16 dan jumlah kes dilaporkan saban hari menunjukkan tren kenaikan mendadak secara exponential.

“Kenaikan 1,000 sehingga 2,000 kes sehari adalah tidak mustahil. Kita telah melihat jumlah kes kematian tertinggi harian iaitu sebanyak 98 kes semalam akibat Covid-19.

“Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, berdasarkan data sehingga semalam, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah menggunakan 65 peratus dari 27,183 katil dan 85 peratus di hospital Covid-19.

“Bagi penggunaan katil ICU pula, sebanyak 88 peratus dari 1,698 katil manakala katil ICU untuk Covid-19, 104 peratus dari 1,113 katil.

“Malah penggunaan ventilator adalah sebanyak 39 peratus dari 2,138 set,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab, tidak kira kerajaan, agensi-agensi berkaitan dan juga rakyat secara keseluruhannya.

“Tempoh lockdown selama dua minggu bermula 1 jun ini akan menyaksikan perubahan sekiranya semua pihak melaksanakan tugas masing-masing secara serius,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN