Selepas lebih setahun dunia dibadai pandemik Covid-19, pelbagai sektor sedang ‘tenat’ bergelut untuk terus bertahan.
Dalam situasi yang sangat mencabar, yang menyaksikan perdagangan antarabangsa menyusut 21 peratus pada suku ketiga 2020, trend itu sekali gus memperlihat industri import dan eksport bahan makanan terjejas teruk. Seperti semua sedia maklum, hal ini dikhuatiri mengundang bencana ke atas sektor keselamatan makanan negara.
Soalnya, sejauh mana pandemik memberi kesan terhadap keselamatan makanan negara? Adakah Malaysia bakal menyaksikan bencana makanan yang buruk susulan Covid-19?
Wartawan Mingguan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan FAHMI FAIZ menemubual Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee secara atas talian bagi mendapatkan penjelasan.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa itu sekuriti makanan dan mengapa ia penting kepada negara?
RONALD: Sekuriti Makanan seperti yang didefinisikan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian, adalah situasi yang dicapai apabila “semua penduduk pada bila-bila masa mempunyai akses secara fizikal, sosial dan ekonomi untuk memperoleh makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan diet dan pilihan makanan bagi membolehkan mereka menjalani suatu kehidupan yang aktif dan sihat”.
Sejauh mana pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap keselamatan makanan negara?
Kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat dalam usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara. Temubual ini amat bertepatan dengan senario semasa negara yang berhadapan dengan pelbagai jenis krisis berikutan penularan pandemik COVID-19 yang seterusnya memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat biasa mahupun perniagaan. Kebanyakan negara telah mula mengenakan lockdown atau Perintah Berkurung berulang kali bagi menangani pandemik ini. Sememangnya langkah ini telah mengakibatkan pelbagai isu sekuriti makanan menjadi lebih kritikal di peringkat global dan secara tidak langsung telah memberi kesan kepada semua isi rumah khususnya golongan rentan. Impak ini dijangka berterusan sepanjang tahun 2021 dan seterusnya.
Adakah Covid-19 beri kesan terhadap usaha kerajaan untuk mencapai matlamat sifar kebuluran?
Situasi Covid-19 yang sedang melanda dunia pada hari ini adalah agak sukar diramalkan kerana sifatnya yang dinamik dan mudah berubah-ubah. Berdasarkan kenyataan Organisasi Kesihatan Dunia, kesan terburuk masih belum berlaku. Oleh itu, kita tidak boleh menafikan kenyataan bahawa pandemik COVID-19 telah melemahkan usaha-usaha untuk mencapai sifar kebuluran.
SEKURITI MAKANAN
Apa dasar kerajaan memperkasa sekuriti makanan?
Antara lain, menerusi Dasar Pertanian Negara yang telah bermula dengan tumpuan untuk memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi sehinggalah kepada inisiatif untuk menjamin kemampanan sistem makanan. Sistem makanan merangkumi semua aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan termasuklah keselamatan makanan dan pemakanan.
Sejauh mana dasar membabitkan pertanian memberi impak positif terhadap keselamatan makanan?
Dasar Pertanian Negara pertama pada tahun 1984 memberi tumpuan kepada kemiskinan luar bandar dan jurang pendapatan antara petani komersial dan tradisional. Manakala, Dasar Pertanian Negara kedua menumpukan kepada produktiviti, daya saing, R&D, pembangunan sumber manusia dan penglibatan sektor swasta. Dasar Pertanian Negara ketiga pula memberi penekanan kepada usaha untuk menangani impak pasca Krisis Kewangan Asia 1997-1998 ke arah meningkatkan bekalan makanan, produktiviti merentasi sektoral, dan pembangunan mampan. Melangkah ke hadapan, Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 telah digubal untuk menyokong pengembangan komoditi agromakanan yang memberikan perhatian terhadap sekuriti makanan. Fokus lain termasuk menambahbaik proses tambah nilai dan nilai pendapatan eksport pertanian yang lebih tinggi.
KESAN PKP
Kini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adakah ia memberi kesan terhadap sekuriti makanan?
Gangguan pada sistem makanan sewaktu fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara tempoh hari, jelas menunjukkan terdapat jurang dalam sistem makanan negara. Wabak ini telah mendedahkan beberapa kelemahan dalam rantaian bekalan makanan negara dari segi logistik khususnya, apabila petani menghadapi kesukaran untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka.
Ada sektor makanan lain yang turut terjejas akibat PKP?
Selain itu, sektor agromakanan juga menghadapi cabaran dari segi pengimportan memandangkan negara-negara sumber import telah melaksanakan dasar perlindungan untuk beberapa komoditi penting seperti beras.
Adakah gangguan ini berjaya diatasi?
Ya, gangguan dalam rantaian bekalan makanan negara ini berjaya diatasi oleh kerajaan melalui hasil kerjasama antara kementerian dan agensi yang terlibat, tindakan pantas dan efektif telah diambil untuk menyelesaikan pelbagai masalah bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan sepanjang masa.
TENAGA ASING
Bagaimana pula dengan tenaga asing yang terlibat dalam sektor agromakanan? Sejauh mana pandemik menjejaskan kumpulan ini dan apa kesannya terhadap industri?
Kita sentiasa berwaspada memandangkan ketika ini, kebergantungan sektor agromakanan terhadap guna tenaga asing adalah tinggi. Sehingga 2019, pekerja asing merangkumi 12.4 peratus atau 59,612 pekerja daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 480,557 pekerja dalam sektor agromakanan.
ADAPTASI
Bagaimana kerajaan mengadaptasi sektor makanan dalam musim pandemik ini?
Langkah mitigasi yang diambil bagi melandaikan keluk pandemik ini telah menguji daya tahan sistem makanan negara dalam mengatasi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan. Langkah-langkah yang diambil ini telah menyebabkan kesan limpahan terhadap keseluruhan rantaian sistem makanan dan sekuriti makanan negara sehingga menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan dan sudah tiba masanya untuk kita mengkaji semula dasar sekuriti makanan negara.
Maksudnya?
Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC). Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ini bertujuan untuk merangka dasar, strategi dan pelan tindakan sekuriti makanan negara yang holistik dan mampan ke arah memperkukuh sistem dan sekuriti makanan negara.
Apa tindakan telah dilaksanakan jawatankuasa itu?
Empat Kluster Dasar Sekuriti Makanan Negara telah dibentuk merentasi kementerian dan agensi untuk memantau dan mengesyorkan cadangan-cadangan berkaitan sekuriti makanan negara. Peranan kluster-kluster ini dirangka berlandaskan tumpuan utama sekuriti makanan iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan yang berkait rapat dengan ketahanan sistem makanan. Selaras dengan penubuhan FSCC, sebuah unit khas juga telah dibentuk di bawah kementerian dan ditugaskan untuk menyelaras dan memantau hal-hal yang berkaitan dengan sekuriti makanan negara.
KEDUDUKAN MALAYSIA
Bagaimana kedudukan terkini negara dalam Global Food Security Index?
Kedudukan negara dalam Global Food Security Index (GFSI) 2020 oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) telah menunjukkan peningkatan satu anak tangga, daripada tangga ke-44 pada tahun 2019 ke tangga ke-43 dalam kalangan 113 buah negara, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan yang berterusan. Seperti yang disarankan oleh EIU, beberapa aspek perlu diberi perhatian dalam memperkukuh sekuriti makanan negara, antaranya ketidakstabilan pengeluaran hasil pertanian, kebergantungan import makanan, kebergantungan ekonomi terhadap sumber semulajadi, akses ke data mudah alih dan pembiayaan kewangan serta kemampanan sumber semulajadi.
IMPORT DAN EKSPORT MAKANAN RUJI
Sejauh mana negara berdiri atas kaki sendiri dalam menghasilkan makanan dan tak bergantung kepada import?
Walaupun sebahagian besar komoditi makanan utama dihasilkan secara tempatan, negara masih bergantung kepada import beras dan daging untuk memenuhi permintaan domestik. Tambahan pula, terdapat komoditi makanan yang tidak sesuai untuk dihasilkan dalam negara berikutan ketidaksesuaian iklim tempatan. Malah, ada antaranya tidak ekonomikal dan lebih murah diimport daripada dihasilkan dalam negara.
Ada faktor lain mempengaruhi import makanan?
Di samping itu, perubahan dalam pola pemakanan rakyat juga mempengaruhi peningkatan import makanan. Oleh yang demikian, salah satu strategi yang perlu diteliti dalam memperkukuh dan menjamin kemampanan sekuriti makanan hendaklah berteraskan usaha untuk mencapai keseimbangan yang lebih baik antara makanan yang diimport dan makanan yang dihasilkan dalam negara.
CABARAN
Apa cabaran MAFI dalam mengharungi hari mendatang dan pelan perancangan?
Berdasarkan dapatan daripada kluster-kluster dasar sekuriti makanan negara, MAFI telah merangkumkan cabaran sekuriti makanan negara mengikut beberapa kategori. Pertama, peningkatan penduduk dan permintaan makanan. Kedua, peningkatan kos sara hidup dan harga makanan, yang ketiga ialah malnutrisi dan obesiti.
Ada cabaran-cabaran lain?
Selain itu, kita juga melihat tahap produktiviti yang rendah, intensif buruh dan populasi petani berumur. Cabaran lain, pelaburan swasta dan R&D yang masih rendah, tahap adaptasi teknologi dan mekanisasi yang rendah, di samping perubahan iklim serta kemampanan sumber semula jadi.
Di antara semua yang disenaraikan, apa cabaran paling utama industri makanan dalam musim pandemik ini?
Salah satu aspek yang perlu diberi keutamaan dalam menyahut cabaran sekuriti makanan adalah dengan memastikan keberadaan makanan yang selamat dengan harga berpatutan di pasaran. Oleh yang demikian, kuasa beli adalah perihal utama yang perlu ditangani dalam memudahcara keperluan dan akses rakyat kepada makanan. Tanpa kuasa beli, kebolehcapaian rakyat terhadap makanan yang berkhasiat untuk memenuhi keperluan diet nutrisi akan terjejas.
Bagaimana pula kerajaan melihat kepentingan meningkatkan pengeluaran makanan?
Adalah penting untuk kita memberi perhatian khusus dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara domestik bagi memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi selain dapat menjamin kestabilan harga makanan. Dalam hal ini, usaha-usaha untuk mempelbagaikan sumber import serta kerjasama dalam bidang diplomasi makanan juga amat perlu bagi kesinambungan bekalan makanan yang tidak dapat dihasilkan dalam negara. Di sini, saya melihat peranan teknologi moden adalah penting bagi memaksimumkan produktiviti ke arah mencipta sistem makanan yang lebih stabil, selain dapat mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dan guna tenaga asing.
PELAN TINDAKAN
Jadi, merumuskan semua ini, apa pelan tindakan kerajaan bagi menjamin kelangsungan industri makanan negara?
Pada masa ini, satu Pelan Tindakan yang mendukung aspirasi Dasar Sekuriti Makanan Negara sedang dibangunkan bagi menangani cabaran sekuriti makanan dengan mengambil kira saranan dan pandangan pelbagai pihak berkepentingan meliputi kementerian, agensi, ahli akademik, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Cadangan Pelan Tindakan ini merangkumi beberapa teras strategik.
Boleh ulas lanjut?
Pertama, memfokuskan inisiatif untuk memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem makanan sebagai langkah pragmatik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sistem ini, berteraskan skala ekonomikal dan pertanian mampan. Kedua, untuk memberi tumpuan kepada inisiatif untuk memperkasa kajian dan penyelidikan berteraskan sekuriti makanan ke arah meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan input pertanian seperti makanan ternakan, baka dan benih berkualiti secara domestik.
Ada lagi teras strategik yang lain?
Ketiga, langkah bertujuan memperkasa ketersediaan data sekuriti makanan bagi mengenal pasti dan memantau tahap sekuriti makanan penduduk Malaysia berdasarkan lokaliti. Selain itu, untuk menterjemah aspirasi keselamatan makanan sebagai tanggungjawab bersama memfokuskan usaha untuk memperluas kolaborasi strategik berteraskan sekuriti makanan antara kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan juga sektor swasta. Akhir sekali, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus merentas jabatan dan agensi untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan sekuriti makanan negara.
INDUSTRI HILIRAN AGROMAKANAN TERKESAN
Di peringkat kementerian, sejauh mana MAFI melihat kesan pandemik ke atas industri hiliran dalam sektor agromakanan?
MAFI, tanpa gagal, akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi dan stabil sepanjang masa dengan mengambil kira keperluan pengeluaran makanan yang bernutrisi untuk rakyat. Di samping itu, pendapatan petani, nelayan, penternak dan pengusaha makanan serta daya saing sektor agromakanan juga merupakan antara faktor yang akan diberi perhatian dalam menjamin kemampanan sistem makanan.
Jadi apa langkah nak tingkatkan produktiviti dalam pada negara dilanda pandemik ini?
MAFI di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memberi penekanan kepada inisiatif untuk meningkatkan produktiviti, memperkasa sistem sokongan dan perkhidmatan serta memperkukuh rantaian nilai makanan ke arah meningkatkan daya tahan sistem makanan secara menyeluruh. Maka, pembangunan sektor agromakanan di bawah RMKe-12 akan dipacu menerusi usaha-usaha modenisasi dengan memberi tumpuan kepada perluasan adaptasi mekanisasi dan automasi untuk terus meningkatkan sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Ada lagi usaha MAFI memperkasa keselamatan makanan?
Komitmen MAFI untuk mempertahankan sekuriti makanan negara juga diperlihatkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0, 2021-2030 (DAN 2.0). Dasar ini akan menyokong pelaksanaan agenda Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, selain menyumbang kepada pencapaian aspirasi Malaysia dalam konteks ekonomi, pengurusan sosial dan kemampanan alam sekitar di bawah sektor agromakanan bagi tempoh sedekad yang akan datang. Saya percaya keberkesanan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam menjamin kemampanan sistem makanan akan dapat diukur menerusi pencapaian negara dalam indikator domestik dan antarabangsa seperti Tahap Sara Diri (SSL), Kadar Kebergantungan Import (IDR), Global Food Security Index (GFSI) dan SDGs.










