Kerjasama PBS-Warisan bukan untuk gabungan politik - Utusan Malaysia

Kerjasama PBS-Warisan bukan untuk gabungan politik

DR MAXIMUS ONGKILI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keterbukaan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) lebih kepada ingin menjalin persahabatan dan bukan untuk membentuk gabungan atau komponen.

Hasrat kerjasama itu adalah demi memastikan pembangunan Sabah dapat dilaksanakan sepenuhnya dan tidak semestinya membentuk gabungan.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kenyataannya baru-baru ini disalah tafsir dan diputar belit oleh sesetengah pihak yang cuba mengelirukan rakyat.

“Niat asal saya adalah untuk menyatakan keterbukaan parti ini terhadap pembangkang, terutama Warisan bagi bekerjasama di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membangunkan Sabah demi kepentingan rakyat Sabah.

“Saya hanya menyatakan terbuka untuk bekerjasama, tidak lebih daripada itu. Apa-apa pun Warisan yang mula mahu menjalin persahabatan dan bekerjasama dan Presiden (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) menyatakan itu semasa bulan Ramadan, bulan yang baik untuk berkawan. Maka, kita juga menyatakan perkara sama demi persahabatan.

“Hasrat kita adalah untuk menjalin persahabatan dan bekerjasama dengan Warisan menerusi Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, sebagai tulang belakang kerajaan Sabah, tiada alasan untuk PBS menggugat kestabilan dan perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ahli Parlimen Kota Marudu ini turut memberi jaminan kepada Datuk Seri Hajiji Noor bahawa sokongan PBS tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah itu.

Beliau memberi jaminan itu semasa kunjungan hormat kepada Hajiji semalam. Kunjungan itu disertai Timbalan-timbalan Presiden PBS iaitu Datuk Seri Radin Malleh, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai. Turut hadir ialah Naib Presiden Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agung Datuk Joniston Bangkuai.

Menurutnya, kerjasama dan persahabatan dalam politik akan membolehkan Sabah dibangunkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Maximus turut mengajak Warisan mempertimbangkan untuk menyertai PN sama ada sebagai ahli atau rakan kerjasama.

“Kami (PBS) bersedia menjadi tuan rumah atau penjana kepada Warisan untuk menjadi sebahagian daripada komponen PN. Marilah, bekerjasama dengan kami di bawah PN.

“Di samping itu, sukar untuk PBS dan Warisan membentuk gabungan kerana kami mempunyai identiti dan peranan politik yang berbeza. PBS sentiasa memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta isu keselamatan dan pendatang asing sejak 36 tahun pembentukan parti ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN