Kerajaan NS sasar RM1 juta kutipan dana bantu Palestin - Utusan Malaysia

Kerajaan NS sasar RM1 juta kutipan dana bantu Palestin

Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,00 untuk dana Bantuan Peduli Palestin kepada Ahmad Fahmi sambil diperhatikan oleh Aminuddin Harun (tiga dari kanan) di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Global Peace Malaysia (GPM) menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta melalui Bantuan Peduli Palestin yang dilancarkan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mengikuti perkembangan terkini yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin terutamanya serangan-serangan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis.

“Di negeri ini, penduduk beragama Islam seramai 700,000 orang, kalau keseluruhan ada 1 juta penduduk namun sekiranya setiap orang menyumbang sebanyak RM1 ia akan mencukupkan dana yang dikumpul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Bantuan Peduli Palestin Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban hari ini. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin. 

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri hari ini turut menyumbangkan sebanyak RM300,000 melalui Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM100,000.

Jelas Aminuddin, kerajaan negeri juga menyediakan platform yang disediakan oleh Global Peace Malaysia khusus untuk rakyat Negeri Sembilan yang ingin menyumbang secara dalam talian iaitu melalui laman web http://www.pedulipalestin.com/negerisembilan.

“Kutipan derma melalui jabatan dan agensi kerajaan, masjid dan surau juga akan digerakkan bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini berpeluang untuk turut serta membantu rakyat Palestin.  

“Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB 8004433398 di atas nama Bendahari Negeri, Negeri Sembilan dengan meletakkan rujukan ‘Palestin’,” katanya lagi. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN