ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyokong penuh langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ di seluruh negara bermula 1 Jun ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, MKN dilihat tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan langkah tersebut berikutan peningkatan kes Covid-19.
“Peningkatan kes baharu Covid-19 begitu membimbangkan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau menyeru penduduk di negeri ini supaya segera mendaftar mendapatkan suntikan vaksin.
“Patuhi prosedur operasi standard (SOP) bersungguh-sungguh demi keselamatan kita semua,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan mengumumkan pelaksanaan ‘total lockdown’ yang akan dilaksanakan berfasa dengan fasa pertama akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 1 Jun.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan MKN.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.










