KOTA BHARU: Dalam tempoh seminggu, Tabung Kemanusiaan Palestin digerakkan kerajaan negeri Kelantan berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM3,651,347.27 yang akan disalurkan kepada penduduk Palestin.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebanyak RM1 juta dikutip menerusi Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) manakala RM2.1 juta lagi melalui Pas Kelantan dan selebihnya RM545,000 menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sumbangan itu adalah kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V serta derma oleh Exco kerajaan negeri, wakil rakyat, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC), anak syarikat kerajaan negeri dan orang awam termasuk anak Kelantan di perantauan.
“Sejumlah wang itu akan diserahkan kepada Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebagai bantuan segera untuk rakyat Palestin,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Program #Aids4Palestine Negeri, Wan Roslan Wan Hamat.
Dalam pada itu Ahmad berkata, inisiatif bagi membantu umat Islam di Gaza menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin itu akan disambung dalam fasa kedua yang bermula hari ini sehingga 11 Jun depan.
Katanya, sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan untuk membina prasarana seperti hospital, bekalan air dan elektrik, sekolah serta membeli ubat-ubatan dan keperluan lain rakyat negara itu.
“Biarpun gencatan senjata, namun bantuan kita untuk meringankan beban rakyat Palestin di sana perlu berterusan,” katanya.










