IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, 82, yang meninggal dunia hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan nusantara.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, jasa Allahyarham bukan setakat negeri Perak tapi negara, nusantara dan dunia Islam.
Menurutnya, Harussani seorang ulama yang terkenal, tegas, berprinsip dan mempunyai sifat berani sebagai seorang ulama.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada kami, seluruh negara merasai kehilangan beliau.
“Kita doakan semoga beliau dirahmati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian di sini hari ini.
Menurutnya, Harussani meninggal dunia pada pukul 2.45 petang ini setelah dirawat kerana positif Covid-19 di HRPB sejak sebelum Hari Raya yang lalu.
“Saya difahamkan beliau meninggal dunia akibat Covid-19.
“Sebelum itu, selama beliau di rumah, kami biasa menziarahi beliau cuma apabila beliau dirawat di HRPB, kita tak dapat bersama beliau disebabkan prosedur operasi standard (SOP).
“Kami orang luar tak dapat nak tahu keadaannya disebabkan SOP cuma kami banyak berdoa,” katanya.
Sementara itu, hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Harussani di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.
Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 6.20 petang oleh anggota petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
Terdahulu jenazah tiba pada pukul 6.05 petang di tanah perkuburan itu setelah dikafan dan disolatkan di HRPB di sini.
Pengebumian dikawal ketat oleh anggota polis yang menutup jalan masuk ke tanah perkuburan itu mulai pukul 5 petang.
Beberapa ahli keluarga Allahyarham hanya melihat urusan pengebumian dari luar pagar tanah perkuburan.
Petugas media hanya dibenarkan membuat liputan pengebumian dari jarak kira-kira 200 meter.










