Kapal tangki Denmark ditahan bersauh secara haram - Utusan Malaysia

Kapal tangki Denmark ditahan bersauh secara haram

KAPAL tangki yang berdaftar di Denmark ditahan Maritim Malaysia kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Denmark kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan pada pukul 6.51 petang di kedudukan 23.8 batu nautika timur Tanjung Gemoh.

Katanya, penahanan berlaku semasa aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin dan telah mengesan sebuah kapal tangki bersauh di lokasi yang tidak dibenarkan. 

“Pemeriksaan awal mendapati kapal berukuran 183 meter itu dikendalikan oleh 19 kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada warga Rusia, Filipina, India, Ukraine dan Romania berumur antara 23 hingga 49 tahun serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, ekoran itu seorang kru telah dibawa ke darat bagi proses saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Unit Siasatan Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia. 

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, sebanyak 42 buah kapal telah ditahan dalam Op Jangkar Haram yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh bagi tahun ini sehingga hari ini adalah sebanyak 62 kes. 

“Maritim Malaysia sentiasa memastikan prosedur keselamatan standard (SOP) diambil serius bagi mengekang penularan varian virus Covid-19 dari pelaut-pelaut yang datang dari pelbagai negara. 

“Maritim Malaysia juga ingin menasihati kepada semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN