KULIM: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum dibawa arus ke Sungai Dingin dalam satu kejadian di Felda Gunung Bongsu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Naera Dellisha Muhammad Nazri, 3, ditemukan lemas di dalam Sungai Dingin kira-kira empat kilometer dari tempat mangsa jatuh.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 7.30 malam dan mangsa ditemukan kira-kira pukul 8 malam oleh orang awam.
Katanya, mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain bersama abangnya, Muhammad Thaqif, 8, di halaman rumah mereka berdekatan longkang tersebut pada pukul 7 malam.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam 91 sentimeter sebelum dihanyutkan ke Sungai Dingin,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, beberapa anggota polis turut terlibat menjalankan gerakan mencari dan menyelamat mangsa sejurus selepas tiba di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim di sini untuk bedah siasat,” katanya.










