Kanak-kanak perempuan antara 60 korban Covid-19 - Utusan Malaysia

Kanak-kanak perempuan antara 60 korban Covid-19

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan 60 kes kematian akibat Covid-19 termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan kes baharu harian yang tertinggi iaitu 7,289 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian melibatkan 15 kes di Selangor, 10 kes di Johor, masing-masing enam kes di Sarawak dan Kedah, lima kes di Kuala Lumpur, masing-masing tiga kes di Sabah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Melaka serta masing-masing satu kes di Pahang dan Terengganu.

Katanya, seramai 39 lelaki termasuk satu warga asing dan 21 wanita berusia antara tiga hingga 93 tahun dengan mencatatkan seorang kanak-kanak perempuan berpenyakit leukemia di Sabah yang menjadi korban Covid-19 termuda.

“Selain kanak-kanak itu, seramai 44 warga emas turut menjadi korban dengan pelbagai latar belakang penyakit manakala sebanyak empat kes meninggal dunia di kediaman masing-masing.

“Antara penyakit yang dikesan iaitu leukemia, kencing manis, darah tinggi, tuberkulosis, buah pinggang kronik, jantung, dislipidemia, paru-paru obstruktif kronik, thalassemia, kanser hati, strok, gout, kanser, Obstructive Sleep Apnoea, Parkinson dan asma,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr. Noor Hisham berkata, kes sembuh merekodkan sebanyak 3,789 kes dan 15 kluster manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 63,458 kes berbanding semalam iaitu, 57,022 kes.

Katanya, sebanyak 726 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 373 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selain Selangor yang terus konsisten merekodkan kes positif melebihi 2,000 kes, ia diikuti Johor (664), Kuala Lumpur (604), Sarawak (513), Kelantan (425), Negeri Sembilan (410), Pulau Pinang (380). Kedah (336), Terengganu (268), Sabah (266), Melaka (258), Perak (218) dan Pahang (211).

“Hanya dua wilayah yang merekodkan kes dua angka biarpun terdapat peningkatan kes iaitu Labuan (63) dan Putrajaya (23) manakala Perlis (8),” katanya.

Mengulas mengenai 15 kluster baharu, beliau berkata, 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan satu kluster keagamaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN