“Kami selamat dengan nenek” - Utusan Malaysia

“Kami selamat dengan nenek”

NUR Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam (dua dari kiri) yang ditemani Rokiah Bahari bersama tiga adiknya di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, Sungai Petani, semalam. - MINGGUAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Saya dan adik-adik mahu tinggal dengan nenek. Kami tak mahu tinggal dengan orang lain.”

Itulah luahan Nur Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam, 8, anak sulung Siti Khodijah Ab. Manaf, 32, yang meninggal dunia pada pukul 2.50 pagi semalam selepas 26 hari koma akibat pendarahan dalam kepala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Tiga lagi adik Nur Alyaa Nadrah Qaisara yang masih kecil ialah Abdul Raqiz, 5, Abdul Wafiy, 4, dan Irfan Arshad, 2.

Empat beradik tersebut kini dijaga nenek mereka, Rokiah Bahari, 68, di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir di sini.

Menurut Nur Alyaa Nadrah Qaisara, dia dan adik-adiknya tidak sanggup berpisah dengan neneknya itu selepas kehilangan ibu tersayang.

“Kami berasa selamat dan bahagia sekiranya dapat tinggal bersama nenek dan kami juga tidak mahu tinggal dengan ayah kami lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir di sini, semalam.

Siti Khodijah didakwa sering didera suaminya sepanjang tempoh lapan tahun perkahwinan mereka.

Suami mangsa adalah bekas tentera yang telah diberhentikan kerja pada tahun 2019 kerana positif dadah.

Sebelum ini, polis pernah menahan suami mangsa yang berusia 36 tahun kerana disyaki mendera isterinya itu sebelum didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A akta sama pada 10 Mac lalu.

Bagaimanapun, suspek diberi jaminan sebanyak RM5,000 manakala tarikh sebutan semula pada 8 Jun depan.

Sementara itu, ibu saudara mereka, Hafizah Ibrahim, 41, pula berkata, ahli keluarganya akan membuat permohonan mengikut prosedur bagi mendapatkan hak penjagaan untuk menjaga dan membesarkan empat beradik tersebut.

Menurutnya, nenek kanak-kanan itu yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di sini juga telah berhenti kerja selepas Siti Khodijah dimasukkan ke hospital bagi memberi tumpuan untuk menjaga cucu-cucunya itu.

“Kami sekeluarga bersedia menggalas tanggungjawab menjaga dan membesarkan mereka berempat dan akan cuba mendapatkan hak penjagaan mereka mengikut sistem perundangan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga belum mendapat sebarang maklumat mengenai lokasi bapa empat kanak-kanak itu kini berada malah dia juga langsung tidak menghubungi mereka sejak enam bulan yang lalu.

“Kami hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak arwah dan akan memastikan mereka dapat hidup dan membesar dalam suasana yang selamat dan penuh kasih sayang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×