BUTTERWORTH: Pemasangan kain rentang yang mencela perbuatan membuang sampah di bahu jalan dijangka berkesan dalam mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab berterusan melakukan perbuatan tersebut.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel berkata, pihaknya akan memasang sebanyak 150 kain rentang terbabit yang tertera tulisan ‘Orang Bodoh Sahaja Yang Membuang Sampah Di Merata-rata Tempat’.
Menurut beliau, kain rentang terbabit akan dipasang kakitangan Jabatan Perbandaran di 150 lokasi yang sudah dikenal pasti di sekitar Seberang Perai.
“Dahulu, kita ada pasang papan tanda (billboard) di beberapa lokasi terpilih namun kos agak terbatas kerana harganya yang mahal.
“Justeru, projek rintis yang dilaksanakan hari ini menggunakan 150 kain rentang yang akan dipasang di kawasan-kawasan di mana penduduk gemar membuang sampah.
“Penduduk tidak menyedari sikap mereka ini membuatkan rutin pekerja pembersihan terganggu kerana selain terpaksa membersihkan sampah haram, mereka perlu memastikan kerja mengutip sampah di kawasan perumahan selesai mengikut jadual,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara penyebab utama pertambahan lokasi pembuangan sampah haram adalah kerana sikap warga asing.
Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya juga merancang menyediakan kain rentang menggunakan bahasa asing supaya warganegara Bangladesh dan Nepal antaranya memahami amaran yang dikeluarkan.
Ujarnya, pemantauan akan dibuat selama tiga bulan untuk melihat sama ada langkah tersebut berkesan untuk membendung masalah sampah haram.
“Selain itu, MBSP meneruskan pemberian ganjaran sebanyak RM100 bagi setiap individu yang menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan terbiar dan bahu jalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE