ALOR SETAR: Polis Kedah menggerakkan pegawai dan anggotanya ke tahap maksimum bagi meningkatkan pemantauan serta pemeriksaan di semua kawasan termasuk laluan tikus di negeri ini pada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, langkah tersebut diteruskan walaupun kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard (SOP) meningkat kepada 80 hingga 90 peratus.
Sementara itu, katanya, keberadaan orang awam di luar rumah pula antara 60 peratus ke 40 peratus pada PKP kali ini.
“Polis terpaksa menggerakkan pemantauan dan pemeriksaan itu bukan untuk susahkan masyarakat tetapi supaya mereka mengehadkan pergerakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
“Kita berharap kepatuhan orang ramai sama seperti PKP 1.0 walaupun SOP agak longgar namun tanggungjawab semua untuk mematuhinya,” katanya dalam sidang akhbar rampasan dadah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Akhbar melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya supaya meningkatkan bilangan operasi dan pemantauan bermula hari ini.
KDN menerusi kenyataan berkata, arahan itu dikeluarkan susulan keputusan kerajaan memperketatkan pematuhan terhadap SOP sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Tambah Mohd. Roze, pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) turut diperketatkan ekoran peningkatan kes dari luar termasuk negeri jiran bagi mengelak cubaan merentas sempadan negeri.
“Kedah unik kerana bersempadan dengan Perlis, Perak dan Pulau Pinang memandangkan peningkatan kes di negeri berkenaan termasuk di Perlis pemeriksaan ini kita perketatkan.
“Begitu juga dengan laluan tikus masih berlaku pelanggaran dengan pelbagai alasan termasuk semalam dalam satu tangkapan di Kuala Muda mereka memberi alasan makan di Kedah lebih sedap,” katanya. -UTUSAN ONLINE










