JKJAV belum ada keputusan rakyat boleh pilih vaksin - Utusan Malaysia

JKJAV belum ada keputusan rakyat boleh pilih vaksin

ADHAM Baba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) belum membuat keputusan sama ada orang ramai boleh memilih jenis vaksin Covid-19 yang dikehendaki.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia hanyalah peringkat awal dan antara cadangan untuk membolehkan satu bentuk kemudahan yang akan dibuat di aplikasi MySejahtera.

Menurut beliau, banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu seperti ketersediaan vaksin, masa ketibaan dan berapa jumlah vaksin yang ada mengikut jenis-jenis itu.

“Kemungkinan itu ada. Apa yang dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin semalam sebagai respon spontan kepada pertanyaan.

“JKJAV belum membuat keputusan dan jawatankuasa ini sentiasa membantu masyarakat dari segi respon atau pandangan. Jadi ia boleh berlaku atau pun sebaliknya. Kesemuanya bergantung kepada portfolio vaksin yang sampai. Sudah tentu kalau kita nak cepat, kita tidak membuat pilihan vaksin,” katanya di sini semalam.

Khairy sebelum ini memberitahu, orang ramai berkemungkinan boleh memilih untuk menerima vaksin Covid-19 yang dikehendaki menerusi satu bentuk kemudahan yang akan dibuat di aplikasi MySejahtera dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut dengan turut melihat kepada penambahbaikan kepada aplikasi tersebut.

Ia susulan sambutan orang ramai kepada vaksin AstraZeneca yang diberi pilihan untuk membuat tempahan khas secara first come, first serve dengan fasa pertama sebanyak 26,000 dos dan fasa kedua berjumlah 1.26 juta dos habis ditempah.

Berikutan itu, kerajaan membuat keputusan untuk memasukkan semula vaksin AstraZeneca dalam PICK susulan sambutan baik masyarakat membuat tempahan vaksin tersebut di sebalik kontroversi boleh menyebabkan trombosis atau pembekuan darah.

Malaysia bakal memperoleh penambahan sebanyak 12.8 juta dos vaksin Pfizer melalui perjanjian yang ditandatangani dengan syarikat Pfizer pada 21 Mei lalu dengan menjadikan jumlah keseluruhan dos meningkat kepada 44.8 juta.

Ini bermakna negara akan menerima penghantaran 25,682,670 dos vaksin Pfizer pada suku ketiga tahun ini dan sejumlah 2,223,000 dos vaksin Pfizer akan diterima pada bulan Jun depan dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu.

Oleh itu, keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga akhir Jun ialah 4,974,840 dos.

Bagi vaksin Sinovac pula, kesemua tempahan melibatkan 12 juta dos akan dihantar sepenuhnya pada bulan Jun dan Julai depan merangkumi 5,089,800 produk fill and finish dari kilang Pharmaniaga di Malaysia serta 6,910,200 dos produk siap dikilang dari kilang Sinovac di Beijing, China.

Bagi vaksin AstraZeneca pula, kita dijangka menerima 610,000 dos pada bulan Jun dan 410,000 dos pada bulan Julai yang mana ia masih tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah

Tambahnya, dengan penghantaran kesemua vaksin terbabit, pihaknya menjangkakan dapat memberi 150,000 suntikan sehari pada bulan Jun nanti dengan melibatkan lebih banyak pusat pemberian vaksin di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN