Jemaluang Dairy Valley terima pelaburan RM100 juta

Jemaluang Dairy Valley terima pelaburan RM100 juta keluarkan produk susu segar

HASNI Mohammad (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Majlis Pecah Tanah United Kotak Berhad 2 di Kawasan Perindustrian SME, Bandar Indahpura, Kulai, Johor, hari ini. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan negeri menerusi Johor Corporation Berhad (JCorp) akan membangunkan ‘Jemaluang Dairy Valley’ dengan pelaburan melebihi RM100 juta bagi mengeluarkan produk susu segar di Jemaluang, Mersing.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, JCorp telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti rakan strategik bagi melaksanakan projek tersebut.

Katanya, pelaburan RM100 juta itu merupakan pelaburan minimum berdasarkan kepada infrastruktur bernilai RM70 juta yang dibangunkan kerajaan Pusat melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Projek itu akan dibuat di sebuah kawasan industri baharu iaitu ‘Jemaluang Dairy Valley’ dengan keluasan kira-kira 275.18 hektar.

“Kita jangka kerja tapak boleh dimulakan dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah United Kotak Berhad 2 di Kawasan Perindustrian SME, Bandar Indahpura, di sini hari ini.

Tambah Hasni, pihaknya berharap Johor dapat tampil dengan produk susu segar yang setanding dengan produk sedia ada di pasaran seperti Farm Fresh yang membabitkan kerjasama antara Khazanah Nasional dan Holstein Milk Company.

“Projek ini juga akan melahirkan 20 penternak ladang satelit baharu dengan memberikan impak ekonomi lebih meluas bukan hanya di Mersing tetapi meliputi Kota Tinggi dan Pasir Gudang,” ujarnya.

Sementara itu, Hasni menjelaskan terdapat tanda positif yang menunjukkan ekonomi Johor bertambah baik walaupun merekodkan penurunan pelaburan sebanyak RM4.67 bilion tahun lalu berbanding RM11.45 bilion pada 2019.

Jelasnya, keyakinan itu berdasarkan hasrat sebuah syarikat teknologi kewangan membuat pelaburan di Iskandar Malaysia serta minat pemaju projek Forest City mengembangkan infrastrukur digital di tapak mereka bagi membolehkan kawasan berkenaan menjadi sebuah hab digital.

“Ini menandakan Johor kekal menjadi destinasi pelaburan utama bagi pelbagai pihak sama ada domestik mahupun antarabangsa.

“Di peringkat negeri, kita akan meningkatkan tahap perkhidmatan kerana kita percaya pelaburan yang baik dan konsisten akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri berkenaan tetapi juga kepada ekonomi Johor secara umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.