JOHOR BAHRU – Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (Jeiwa) memilih seramai 100 individu yang kurang berkemampuan di bandar raya ini untuk dibantu dengan memberikan kelengkapan perayaan Hari Raya Aidilfitri secara percuma pada hari ini.
Pengasas dan Presiden Jeiwa, Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata, individu terpilih ini boleh mengambil apa sahaja 10 barangan yang diletakkan di Jeiwa Charity Boutique, Paradigm Mall untuk dibawa pulang.
Katanya, individu yang terdiri daripada ibu tunggal, asnaf dan pesakit kronik itu juga akan diberikan baucar membeli belah bernilai RM100 setiap seorang.
“Mereka boleh pilih 10 barangan yang ada dalam Jeiwa Charity Boutique seperti baju raya, kuih raya, perkakas dapur, beras, pinggan mangkuk, telekung, beras dan mainan. Mereka hanya perlu datang dan ambil apa sahaja yang mereka mahu.
“Bagi baucer RM100 pula, mereka boleh gunakan untuk membeli belah di Jeiwa Power House di Paradigm Mall yang menempatkan pelbagai produk usahawan wanita Jeiwa. Ini secara tak langsung dapat membantu jualan produk usahawan wanita kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jeiwa Charity Boutique yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail di Paradigm Mall, di sini.
Nor Fadilah berkata, program tersebut merupakan acara tahunan Jeiwa bagi memastikan setiap individu yang kurang berkemampuan turut berpeluang merasai kemanisan dan kemeriahan menyambut Aidilfitri.
Katanya, penganjuran program pada tahun ini adalah paling rendah kerana kekangan penularan pandemik Covid-19 yang teruk melanda negara ketika ini.
Tambahnya, ahli Jeiwa bergerak secara sendiri mengesan individu yang betul-betul susah yang tidak menerima bantuan daripada mana-mana agensi bagi menerima bantuan ini.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini kita beri bantuan kepada 1,000 penerima dan pernah mencecah 1,700 orang. Cuma tahun ini sahaja sedikit sebab kekangan Covid-19 tetapi walaupun terpaksa menjalankan program pada skala kecil, ia tidak menghalang kami untuk meneruskan pemberian bantuan kepada orang ramai.
“Program yang dijalankan mula hari ini sehingga Isnin ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat dan syarikat korporat dalam membantu menyediakan dan menyumbangkan kelengkapan perayaan Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










