Jalan ladang sawit jadi laluan tikus rentas negeri - Utusan Malaysia

Jalan ladang sawit jadi laluan tikus rentas negeri

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) meninjau pematuhan SOP di Pasar Awam Larkin di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Daerah Segamat menjadi lubuk laluan tikus yang digunakan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan daerah sempena Aidilitri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jalan tikus banyak tertumpu di daerah tersebut kerana terdapat banyak laluan di ladang kelapa sawit.

Sehubungan itu, katanya, Polis Johor akan mempertingkat kawalan pemantauan di laluan tikus tersebut bagi memastikan tidak ada yang dapat meloloskan diri.

“Sudah tentu kita akan mempertingkat kawalan di laluan tikus yang dikesan di daerah terbabit dengan menambah sekatan jalan raya (SJR).

“Selain laluan tikus, kita juga beri penekanan kepada laluan laut. Sebab itu juga kita adakan Op Benteng bagi mengekang pergerakan sama ada nak masuk atau keluar dari negeri ini,” katanya kepada pemberita di Pasar Awam Larkin, di sini hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan meninjau keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar awam tersebut.

Mengulas lanjut, Ayob Khan menjelaskan, sehingga hari ini belum ada individu yang ditahan kerana menggunakan laluan tikus tersebut.

Katanya, jumlah SJR akan ditambah di beberapa lokasi lebuh raya, sempadan negeri dan Jalan Persekutuan.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan seramai 1,212 pegawai dan anggota polis Johor telah dikerahkan untuk bertugas pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Seramai 840 daripada mereka ditugaskan menjaga SJR, 269 pula ditugaskan untuk pasukan pemantauan manakala 171 yang lain melibatkan pasukan peninjau kenderaan pelbagai guna (MPV),” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN