PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan beberapa perbincangan dan tindakan bagi mengumpul maklumat-maklumat berkaitan berhubung syarikat Atomy dengan kerjasama pelbagai pihak.
Jakim menegaskan, sebarang bentuk kenyataan yang dibuat mengenai pihak lain perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan dan kajian yang mendalam serta bukti kukuh.
“Justeru, Jakim sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pakar dalam bidang muamalat, akidah dan agensi berkaitan seperti Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan kajian yang berkaitan.
“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali Ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari lalu membincangkan kertas ‘Pandangan Hukum Berkenaan Perniagaan Yang Menyumbang Kepada Gerakan AntiIslam’.
Jelasnya, muzakarah telah membuat ketetapan bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan kerana ia melibatkan banyak pihak.
Sebelum ini, seorang individu dikenali sebagai Mohd. Fadli Salleh membangkitkan isu berkaitan syarikat itu menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau meminta supaya Jakim memberi kenyataan yang jelas mengenai syarikat Atomy yang didakwa menyokong aktiviti Kristianisasi.
Beliau juga mahu ketetapan dibuat segera bagi mengelak lebih ramai orang awam khususnya umat Islam terbabit dengan syarikat berkenaan.










