KUANTAN: Rakyat negeri ini diingatkan agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh berhari raya.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengabaian SOP dalam kalangan masyarakat dilihat semakin hari semakin ketara dan kadar penularan wabak Covid-19 masih dalam keadaan membimbangkan.
Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini merupakan kali kedua rakyat terpaksa menyambut dalam keadaan dunia, negara dan negeri masih lagi dilanda pendemik berkenaan.
“Puncanya apabila sebahagian daripada kita mengabaikan SOP yang sepatutnya dipatuhi, percayalah, tiada sesiapa pun yang mahukan wabak ini terus berada dalam komuniti serta kehidupan kita.
“Sepatutnya ketika ini kita sudah dapat bergembira meraikan hari raya bersama keluarga dan sanak-saudara, namun wabak ini masih lagi terus menular sekaligus menunjukkan kadar peningkatan.
“Dengan itu, saya mohon agar rakyat terus mematuhi SOP ditetapkan dengan sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal terutama ketika berada dalam kalangan khalayak,” katanya dalam perutusa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak berhenti merayu rakyat untuk terus cekal dan mematuhi segala SOP sekali gus yakin dengan kejayaan melawan wabak Covid-19 ini.
Tambah beliau, dalam usaha ke arah itu rakyat disarankan mendaftar menerusi Program Imunisasi Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) melalui pautan ‘vaksin.pahang.gov.my’.
“Semoga dengan mengikuti saranan kerajaan untuk mendapatkan vaksin ini rakyat mampu merayakan hari lebaran dengan sewajarnya. Insya-Allah,” katanya.