MELAKA: Penyalahgunaan kuasa protokol keselamatan dan pegawai tidak kompeten dikhuatiri menjadi antara penyumbang mengapa tragedi kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) boleh berlaku baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya sabotaj dan rasuah dalam kaedah pengendalian senggaraan sistem yang tidak dilaksana secara berterusan.
Beliau berkata, sistem yang tidak dikemaskini mengikut kemajuan serta pelantikan pegawai yang tidak bertauliah secara sambil lewa turut berpotensi menjadi antara penyebab.
“Sudah pasti setiap pergerakan tren mahupun penceroboh akan dikesan oleh pengesan melalui Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA) . Bilik kawalan pasti mempunyai sistem penggera yang peka dan sentiasa dipantau secara berkala. Strukturnya perlu diselia oleh hanya seorang pegawai bertanggungjawab pada satu-satu masa supaya tidak berlaku arahan yang berbeza.
“Nyah aktif automatik akan berlaku jika terdapat kesalahan seperti pergerakan bertentangan arah sama ada secara sistem ataupun manual, maknanya tren tidak boleh bergerak apa cara sekalipun.
“Saya percaya ada berlaku penyalahgunaan kuasa protokol keselamatan dan ketidakkompetenan pegawai,” katanya yang juga jurutera profesional bertauliah.
Isnin lalu, dua tren LRT bertembung berdekatan Stesen KLCC di ibu negara mengakibatkan 64 penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala baki 149 dirawat di lokasi kejadian berkenaan.
Menterinya Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, satu Jawatankuasa Siasatan terdiri dari pelbagai agensi akan ditubuhkan bagi mengumpul laporan insiden kemalangan terbabit.
Dalam pada itu, Idris menambah, individu yang terlibat perlu mengambil tanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan sama seperti yang diamalkan di negara maju seperti Jepun.
“Kemungkinan ada berlaku sabotaj dan rasuah dalam pengendalian selenggaraan sistem yang tidak dilaksana secara berterusan dan tidak dikemaskini mengikut kemajuan serta pelantikan pegawai yang tidak bertauliah secara sambil lewa dan ambil mudah.
“Jika di Jepun pasti mereka yang terlibat mengambil tanggungjawab penuh meletak jawatan atau budaya tidak sihat dengan bunuh diri,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










