HSB mohon dua kontena simpan jenazah - Utusan Malaysia

HSB mohon dua kontena simpan jenazah

HALIMATON Shaadiah (tiga dari kiri) mewakili SG Energy menyampaikan sumbangan katil kepada Dr. Farozy Faizah Fazil di Hospital Jitra, Kubang Pasu. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan negeri menerima permohonan daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menyediakan dua kontena khas sebagai persediaan bagi menempatkan jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, permohonan itu dikemukakan oleh HSB selepas kes kematian membabitkan pesakit Covid-19 semakin meningkat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, bilik mayat di hospital itu masih dapat menampung jumlah jenazah tersebut.

“Insya-Allah saya akan maklumkan permohonan HSB itu dalam Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri berkaitan Covid-19 dan pelaksanaan ‘total lockdown’ yang akan dijalankan secara dalam talian, esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan katil hospital oleh Syarikat SG Energy Sdn. Bhd. (SG Energy) di Hospital Jitra di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif SG Energy, Izzul Saly Ali dan Pengarah Hospital Jitra, Dr. Farozy Faizah Fazil.

Pada majlis itu, SG Energy menyampaikan sumbangan sebanyak 26 buah katil termasuk bantal bernilai keseluruhan RM60,000 untuk kelengkapan pesakit di hospital itu.

Pada masa ini, Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Selayang, Kuala Lumpur terpaksa menyediakan kontena khas bagi menempatkan jenazah pesakit Covid-19.

Halimaton memberitahu, selain itu, jumlah katil dan tabung oksigen di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Jitra juga semakin terhad dengan penambah jumlah pesakit termasuk positif Covid-19 yang sentiasa bertambah.

Jelasnya, pada ketika ini, wad ICU Hospital Jitra mempunyai 27 buah katil dengan kelengkapan 16 buah tabung oksigen dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit.

“Sebab itu saya menyeru masyarakat terutamanya usahawan dan dermawan dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan menyalurkan kelengkapan tersebut kepada pihak hospital di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN