KOTA KINABALU: Jajaran politik baharu bukan penyelesaian terbaik bagi menangani ketidakstabilan politik yang berlaku pada masa ini.
Hanya kemenangan parti tunggal dilihat boleh mengembalikan semula kestabilan politik negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, rakyat mengharapkan sesuatu yang baharu dan lebih stabil. Bukannya gabungan politik yang tidak mempunyai asas kerjasama yang kukuh.
“Istilah jajaran politik baharu itu hanya kemungkinan kerana tiada jaminan akhirnya politik kita akan stabil. Kalau parti-parti yang pada asalnya tidak sehaluan kemudian bergabung, keadaan akan sama seperti sekarang.
“Sekarang orang mahu melihat sebuah parti itu berdiri sendiri kerana berdasarkan keadaan sekarang, parti dalam gabungan yang ada bergaduh sesama sendiri bukan hanya di pihak kerajaan tetapi juga, pembangkang.
“Jadi saya tidak nampak kita akan menuju ke arah era politik yang stabil ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) ini berkata, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu diharap ada sebuah parti yang menang dengan majoriti besar yang boleh memerintah negeri ini bersendirian. Parti-parti kecil pula hanya sebagai rakan sokongan sahaja.
Tetapi keadaan itu tidak berlaku jadi akhirnya semuanya seperti tergantung dan situasi sebegitu mengecewakan rakyat.
“Bagi saya apa juga jajaran politik baharu yang dilihat sekarang ini hanya untuk menyedapkan rasa kerana kita tidak tahu bila gabungan itu akan berlaku. Apa yang diperkatakan sekarang ini hanya cakap-cakap politik,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, jajaran politik baharu pasti akan berlaku menjelang PRU-15.

“Jika semasa pasca PRU-14 menyaksikan dinamik politik di peringkat nasional iaitu pertembuangan antara politik lama dan baru. Namun, ia tetap didominasi golongan elit politik ‘lama’ yang masih bersandarkan kepada politik penaungan dan etnik.
Kerjasama UMNO dan Parti Warisan Sabah (Warisan) atau PBS dengan Warisan bukan sesuatu yang mustahil kerana politik Sabah cukup dinamik.
Namun kerjasama antara PBS dan Warisan hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sahaja iaitu Warisan kerana mereka akan berjaya meraih sokongan masyarakat KDM.
Menurutnya, penjajaran politik di negeri ini boleh berlaku berdasarkan politik federalisme. Namun, bukan mudah untuk UMNO-Warisan bekerjasama kerana sokongan akar umbi parti masing-masing perlu bersedia untuk berkompromi.
“Namun, saya melihat ini sebagai pakatan politik yang berasaskan strategi dan sinergi untuk menghadapi PRU-15 bagi mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan Warisan disamping memberi tentangan bagi kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN ONLINE