PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mempunyai cita-cita `terpendam’ dalam bidang pertanian tidak sabar untuk kembali berkebun bagi merealisasi minatnya bercucuk tanam dan menternak ikan.
Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu memberitahu Utusan Malaysia, minat dan hobi beliau yang pernah menjadi sumber rezeki sewaktu ‘terbuang’ hampir tiga tahun daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuahkan hasil.
“Buat masa ini keluaran sayur bendi dan cili padi sedang rancak dilakukan setiap hari dan begitu juga dengan tangkapan dan jualan ikan puyu.
“Insya-Allah, hasil ikan tersebut boleh mencecah lapan sehingga10 tan bulan Mei ini,” katanya di sini semalam.
Cerita Abdul Hamid lagi, dua tahun menerajui pasukan Sang Saka Biru sudah mencukupi untuk beliau mengemudi pasukan PDRM.
Katanya, beliau `gembira’ dan bersedia mengundurkan diri dan yakin telah melakukan yang terbaik sejak dilantik ke jawatan itu secara kontrak pada 3 Mei 2019.
“Cuma dalam tempoh itu ada sesuatu yang saya terkilan kerana tidak dapat dilaksanakan iaitu melawat Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan masalah pasukan di dua negeri tersebut.
“Tiada apa yang hendak saya kesali kecuali hasrat saya adalah untuk ke sana (Sabah dan Sarawak) kerana di sana begitu banyak isu yang tidak dapat diselesaikan antaranya kes perjudian dan persempadanan negara,” kata Abdul Hamid yang menunggu masa untuk pulang ke Negeri Sembilan meneruskan kerja-kerja kebun.
Ditanya sama ada beliau menyertai politik seperti disarankan beberapa individu, Abdul Hamid memberitahu, beliau sama sekali tidak akan menjerumuskan dirinya dengan mana-mana parti.
“Kebun dan ternak ikan kerja menenangkan dan paling menggembirakan saya,” kata beliau.
Sementara itu, majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara antara Abdul Hamid kepada timbalannya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dijadual berlangsung hari ini.
Acryl Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang ke-13, berkuat kuasa esok.
Namun, Utusan Malaysia difahamkan majlis perpisahan dan paluan berundur yang kelaziman diadakan bagi meraikan mana-mana pegawai kanan tidak akan berlangsung hari ini.
Mengulas perkara itu, bagi Abdul Hamid berkata, acara itu cuma tradisi dan bukannya wajib untuk diadakan.
“Majlis seperti ini melibatkan kos dan guna tenaga ramai untuk perbarisan. Buang tenaga dan membazir sahaja,” ujarnya.
Mengikut rekod, Abdul Hamid mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih, pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di Cawangan Khas (SB) Bukit Aman bermula 1980 hinggalah 1996.
Pada 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak sebelum kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001, seterusnya dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Polis Kontinjen Kelantan pada 2005.
Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 pada 2009.
Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos 2015 sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan. – UTUSAN ONLINE










