PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengesahkan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Selangor yang didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar semasa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kepada seorang murid, kini ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Menurut kenyataan kementerian itu, ia berikutan murid tersebut telah membuat laporan polis pada 24 April lalu, dan penempatan guru tersebut di JPN Selangor adalah sehingga siasatan selesai.
“Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, kementerian tidak mengeluarkan apa apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, berhubung tangkap layar komen pengetua sekolah berkenaan di Facebook, kementerian mengesahkan satu laporan polis telah dibuat pengetua tersebut di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan beliau memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam.
Kementerian pada masa sama menjelaskan, Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama yang diterima murid berkenaan, pihaknya mengesahkan sekolah berkenaan telah mengeluarkan enam pucuk surat itu bagi tempoh 16 hingga 30 April lalu kepada ibu bapa atau penjaga yang anak atau anak jagaan tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.
Kementerian Pendidikan menjelaskan, pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Katanya, sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, guru, melalui sistem ini akan menjana Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama.
“Surat ini kemudiannya akan diposkan kepada ibu bapa atau penjaga murid tersebut. Secara umumnya, surat pemberitahuan ini dikeluarkan bagi memastikan ibu bapa atau penjaga dan juga pihak sekolah mengetahui dan cakna akan kehadiran dan keberadaan murid semasa sesi persekolahan.
“Selain itu, tindakan ini juga membolehkan kementerian memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya,” katanya.
Kementerian sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan murid serta seluruh warga sekolah dan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.
Baru-baru ini, tular berhubung tindakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam, Selangor yang membuat jenaka rogol seperti didedahkan pelajar tingkatan lima, Ain Husniza Saiful Nizam.
Dalam isu itu, pengetua sekolah terbabit turut didakwa memperlekehkan pendedahan pelajar tersebut menerusi ruangan komen dalam satu hantaran Facebook.