Guru guna studio muzik kendali PdPR - Utusan Malaysia

Guru guna studio muzik kendali PdPR

MOHD. Basyir Baharudin mengendalikan proses PdPR di studio muzik di dalam rumahnya di Taman Bandar Springhill, Port Dickson. –UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tidak ingin terlalu tertekan dan mahu pelajarnya lebih bertenang, seorang guru mata pelajaran Matematik Tambahan bermain gitar sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Lebih menarik, Mohd. Basyir Baharudin, 34, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Lukut dekat sini menggunakan studio miliknya di rumah untuk sesi pembelajaran tersebut.

Mohd. Basyir akan terlebih dahulu bermain gitar sebelum memulakan sesi PdPR bagi menarik minat pelajar.

“Saya tahu subjek matematik ini agak sukar, lebih-lebih dipelajari secara maya. Jadi, saya gunakan studio muzik ini untuk bermain gitar sementara menunggu pelajar yang lain masuk ke dalam kelas dalam talian tersebut.

“Sebelum ini, saya menggunakan ruang tamu rumah namun tidak selesa kerana saya mempunyai anak-anak kecil berusia dua hingga tujuh tahun. Studio muzik ini memang diubah sedikit untuk saya mengajar ketika PdPR ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bandar Springhill, dekat sini semalam.

Tambah Mohd. Basyir, sejak awal pelaksanaan PdPR, dia telah menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik minat pelajar mengikuti kelas secara maya.

“Saya mengajar subjek Matematik dan Matematik Tambahan untuk pelajar tingkatan empat dan lima jadi saya perlu lebih kreatif untuk menarik minat mereka memasuki kelas secara maya.

“Apa yang saya gunakan adalah menggunakan ‘drawing­ pad’ bagi menyelesaikan masalah matematik yang diajar. Pada mulanya memang agak sukar, namun saya dapat melihat mimik muka pelajar sama ada mereka faham atau tidak, mereka yang tidak faham akan bertanya terus dan saya akan memberi jalan penyele­saian untuk cara kerja matematik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PdPR, Mohd. Basyir membe­ritahu, jika pada awal pelaksanaan PdPR, memang dia menghadapi sedikit masalah namun lama-kelamaan terutama selepas memahami teknik mengajar secara maya, proses itu baginya agak mudah.

“Saya banyak merujuk di media sosial cara untuk mengajar secara dalam talian, walaupun sukar, saya akan pastikan mereka (pelajar) faham apa yang diajar.

“Berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu, saya tidak tahu bagaimana untuk me­ngajar secara maya, namun kini sudah bersedia dan sudah memahami tugasan ketika di rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN