KUBANG PASU: Tindakan Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin politik yang menjadikan lompat parti sebagai budaya ketika beliau begitu hampir melepaskan jawatan adalah sesuatu yang cukup pelik.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sepatutnya siasatan berhubung perkara itu dilaksanakan sejak dari awal Abdul Hamid diberi tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara.
Justeru katanya, tindakan Abdul Hamid itu hanya menimbulkan perkara yang kurang senang untuk dibaca dan dilihat oleh ramai pihak.
“Masa mula-mula ambil alih tanggungjawab beliau sendiri melompat daripada Cawangan Khas dan terus menjadi Ketua Polis Negara. Selain itu, kejadian melompat parti ini paling banyak berlaku semasa beliau bertugas di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dulu.
“Jadi kenapa baru nak timbulkan isu ini sekarang? Bagi saya, ini hak ahli Parlimen atau wakil rakyat untuk memainkan peranan dengan cara terbaik di bawah parti mana sekali pun dan perkara itu tidak seharusnya menjadi isu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis penyerahan sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Kubang Pasu anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam dengan kerjasama PTPTN di sini hari ini.
Wan Saiful menambah, sebagai seorang yang bakal meninggalkan perkhidmatan, Abdul Hamid sepatutnya meninggalkan legasi dengan positif.
“Tetapi sekarang terjadi pula perkara yang kurang senang untuk dibaca dan dilihat kerana rakyat tertanya-tanya kenapa sekarang baru hendak bercakap,” katanya.