GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan pengguna supaya tidak mengunjungi pasar awam atau pasar raya untuk membeli barangan keperluan setiap hari buat sementara waktu.
Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, pemerhatian pihaknya mendapati orang ramai termasuk warga emas masih ramai mengunjungi pasar-pasar awam dan pasar basah setiap hari.
Jelas beliau, pihaknya percaya kes positif Covid-19 cenderung menurun sekiranya pengguna mengurangkan kehadiran mereka ke pasar dan pasar raya.
Lebih mengecewakan jelasnya, terdapat orang dewasa yang turut membawa anak-anak dengan kerap ke pasar awam, sekali gus menunjukkan sikap tidak peduli masyarakat terhadap pandemik Covid-19.
“Jika budaya membeli barangan keperluan setiap hari ini tidak dibendung, CAP bimbang kita boleh mencatatkan sehingga 5,000 atau lebih kes harian positif Covid-19.
“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak termasuk pengguna sangat penting untuk kita mengurangkan jumlah kes baharu Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, para pengguna perlu membiasakan diri untuk menghentikan budaya membeli secara harian itu dengan merancang menggunakan barang keperluan selama tiga atau empat hari berikutnya setelah dibeli.
Katanya, jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan sekiranya orang ramai tinggal di rumah dan melakukan disiplin serta kawalan diri.
“Selama setahun, setiap hari kerajaan mengulangi peraturan yang harus kita ikuti, namun masih ramai yang dilihat tidak mengambil peduli.
“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan hukuman rotan kepada individu yang degil itu sebagai satu-satunya tindakan untuk memberi kesedaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE










