KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 17 kru yang menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dua bot berkenaan ditahan di lokasi berasingan pada kedudukan 75 dan 76 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu, kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua nelayan berusia antara 15 hingga 56 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan sah di samping tiada lesen memungut hasil laut di perairan negara.
“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta termasuk peralatan dan hasil tangkapan di samping bekalan diesel. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia giat melaksanakan rondaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini demi menjamin keselamatan dan menyekat sebarang kesalahan di perairan negara.