Cuepacs gesa buat PKP sepenuhnya - Utusan Malaysia

Cuepacs gesa buat PKP sepenuhnya

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari.

Presidennya, Adnan Mat berkata, beliau berkata tempoh 21 hari itu adalah paling minimum bagi membolehkan langkah drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat ekoran situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berdepan cabaran terlalu dahsyat bagi merawat pesakit Covid-19 selain perlu mengendalikan pesakit lain.

“Jika kerajaan masih lagi menggunakan SOP (prosedur operasi standard) semasa bagi mengekang penularan Covid-19, Cuepacs bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malaysia hari ini merekodkan kes harian tertinggi Covid-19 dengan 6,075 kes sejak wabak itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kemunculan varian baru yang membimbangkan (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala malah ujian saringan sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun pesakit sudah berada di tahap kritikal.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP kedua dan PKP ketiga ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan Covid-19.

Malah, katanya, ia dilihat semakin meningkat setiap hari dengan trend peningkatan kes disebabkan pergerakan orang ramai yang tidak terkawal.

“SOP yang sentiasa berubah dan tidak seragam telah mengelirukan rakyat. Lebih mendukacitakan pengumuman pelaksanaan PKPD di kawasan berisiko tinggi diumum lebih awal hingga memberi kesempatan masyarakat keluar daripada kawasan PKPD yang boleh menyebabkan penularan kes berlaku di kawasan luar,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan PKP secara penuh seperti 18 Mac 2020 mungkin nampak terseksa kepada rakyat tetapi pelaksanaan PKP ‘sekejap buka sekejap tutup’ yang menyaksikan ekonomi semakin perlahan, pendidikan anak-anak terabai dan kadar pengangguran meningkat adalah lebih buruk.

“Ditambah lagi dengan penularan varian berbahaya dari Afrika dan India di Malaysia ketika ini, PKP penuh ini diyakini dapat memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Cuepacs turut menggesa menteri dan kementerian yang terlibat mengawal harga barangan keperluan harian memastikan tiada pihak memanipulasi harga sekiranya PKP penuh dilaksanakan selain bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas wajar diberi oleh kerajaan.

“Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya